BERITA TERKINI   Malaysia dilantik sebagai anggota Lembaga Gabenor IAEA bagi penggal 2026-2028 - Kementerian Luar | 

MATRADE Perkenal WiEX, Perkasa Penglibatan Wanita Dalam MIHAS 2026

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Seramai 80 usahawan wanita termasuk 20 dari luar negara akan membuka reruai di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2026) menerusi Inisiatif Women in Export (WiEX) yang diperkenalkan buat julung kali sebagai komponen teras strategik pameran itu.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata WiEX akan menjadi platform pameran khas, sesi jaringan perniagaan serta akses kepada pembiayaan bagi membantu mereka membina daya tahan dan menembusi pasaran antarabangsa.

Ad Banner

“WiEX bermatlamat untuk memperluaskan sumber kekayaan serta membuka lebih banyak peluang kepada mereka apabila menembusi pasaran eksport antarabangsa. 

“Keutamaan diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan nadi dan tunjang pembangunan negara, memandangkan penyertaan mereka dalam eksport masih lagi kecil,” katanya kepada Bernama.

Pada 2025, WiEX dilaksanakan secara perintis dengan data MATRADE menunjukkan peningkatan ketara dalam penglibatan usahawan wanita tempatan dalam menerajui perniagaan berorientasikan eksport, khususnya dalam sektor kosmetik, makanan inovatif dan fesyen santun.

Ad Banner

Reezal Merican berkata ketika ini MIHAS 2026 telah mencapai sasaran 2,400 tapak pameran dan 1,700 reruai dengan peserta pameran Malaysia merangkumi kira-kira 70 peratus dan peserta pameran antarabangsa sebanyak 30 peratus.

MIHAS 2026 turut menarik pembeli dari 58 negara, sekali gus menyediakan peluang lebih luas kepada pempamer untuk menjalinkan hubungan perniagaan dan meneroka pasaran antarabangsa.

Bagi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), MIHAS 2026 tidak lagi bergantung kepada kaedah padanan manual sebaliknya memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi MADANI Digital Trade Platform (MDTP).

Menurut Reezal Merican, algoritma AI di MDTP akan menganalisis secara mendalam data kapasiti pengeluaran, standard pematuhan serta profil PKS tempatan untuk dipadankan secara bersasar (precision matching) dengan profil serta kriteria spesifik pembeli global secara masa nyata.

Pendekatan itu bagi memastikan setiap mesyuarat B2B yang diatur lebih bersasar, sekali gus meminimumkan proses cuba jaya serta meningkatkan potensi kejayaan urus niaga, kata beliau.

MIHAS 2026 edisi ke-22 yang mengangkat tema “Melakar Kepercayaan, Memacu Daya Tahan” akan mengetengahkan 14 kluster industri strategik secara bersepadu di bawah satu bumbung, termasuk sektor makanan dan minuman (F&B), kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal dan bioteknologi, pelancongan mesra Muslim, kewangan Islam, peranti perubatan halal serta inovasi bahan ramuan halal.

Pameran itu akan berlangsung dari 23 hingga 26 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

-- BERNAMA