BERITA TERKINI   Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal dimasyhur sebagai Canselor UniKL baharu menggantikan Sultan Pahang | Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Majlis Konvokesyen ke-23 UniKL | 

Empat Keutamaan Strategik Sokong Reformasi Penjagaan Kesihatan Di Bawah RMK13

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Ekonomi menggariskan empat keutamaan strategik bagi menyokong agenda reformasi penjagaan kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), merangkumi aspek pelaburan kesihatan, kemampanan pembiayaan, pembangunan industri dan bakat.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata keutamaan itu akan melengkapi peranan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perancangan pembangunan negara, pengurusan sumber dan penyelarasan merentas sektor.

Beliau berkata keutamaan pertama ialah memastikan pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan diselaraskan berdasarkan keperluan penduduk, dengan mengambil kira akses kepada perkhidmatan, kelewatan rawatan yang boleh dielakkan, ketersediaan tenaga kerja dan sumber operasi.

Ad Banner

“Keutamaan kedua pula ialah memperkukuh kemampanan pembiayaan kesihatan dengan meneroka penubuhan dana kesihatan nasional dan platform pembelian strategik, selain mempertingkatkan kerjasama awam–swasta dalam perkhidmatan terpilih termasuk pengimejan diagnostik, pembedahan elektif dan konsultasi pakar secara maya.

“Strategi RESET menangani tekanan peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta, termasuk menerusi ketelusan harga dan reformasi insurans. Antara inisiatif utama ialah pelan asas insurans perubatan dan kesihatan serta takaful, yang disasarkan diperkenalkan ke pasaran pada awal 2027.

“Usaha ini perlu menyokong sistem penjagaan kesihatan awam dan langkah mengawal kos tidak seharusnya menjejaskan pemberian rawatan yang bersesuaian mengikut keperluan klinikal,” katanya ketika merasmikan Persidangan Urologi Malaysia (MUC) ke-35 2026 di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Yang turut hadir, Pengerusi MUC Dr Arvind Vashdev Jagwani, Presiden Persatuan Urologi Malaysia (MUA) yang baru dipilih Dr Toh Charng Chee dan Pakar Perunding Urologi KPJ Selangor Prof Datuk Dr Khairul Asri Mohd Ghani.

Akmal Nasrullah berkata keutamaan ketiga ialah membangunkan penjagaan kesihatan sebagai sektor ekonomi bernilai tinggi, khususnya dalam bidang peranti perubatan, farmaseutikal, bioteknologi, kesihatan digital dan penyelidikan klinikal dengan usaha juga akan ditumpukan untuk beralih daripada sekadar mengimport dan menggunakan teknologi kepada pembangunan serta pengkomersialan lebih banyak penyelesaian teknologi tempatan.

Keutamaan keempat pula memberikan tumpuan kepada pengukuhan tenaga kerja kesihatan dan keupayaan profesional, termasuk kapasiti latihan, pengekalan kakitangan, agihan tenaga kerja mengikut geografi serta komposisi kepakaran.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata jumlah kes kanser prostat yang direkodkan dalam Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021 meningkat kepada 6,441 kes berbanding 4,189 kes dalam tempoh 2012-2016, dan daripada jumlah kes yang mempunyai maklumat peringkat penyakit, sebanyak 63.3 peratus dikesan pada Tahap III atau IV.

Beliau turut menggalakkan MUA menyumbang kepada penggubalan dasar berasaskan bukti dengan berkongsi data berkaitan dengan tempoh menunggu, hasil rawatan dan kualiti hidup pesakit.

-- BERNAMA