Lima Syarikat Bumiputera Disenaraikan Di Bursa Malaysia Antara April 2025 Dan September 2026
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Lima syarikat Bumiputera telah berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia antara April 2025 dan September 2026, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Syarikat-syarikat tersebut ialah Orkim Bhd disenaraikan di Pasaran Utama serta SumiSaujana Group Bhd, ELSA Bhd, GTA Holdings Bhd dan United Asiapac Energy Bhd disenaraikan di Pasaran ACE.
Akmal Nasrullah berkata penyenaraian itu menunjukkan potensi perusahaan Bumiputera untuk berkembang, menarik pelaburan, dan memperoleh akses kepada pasaran modal yang lebih luas.
“Cabaran kita seterusnya adalah untuk memanfaatkan kemajuan ini dengan membolehkan lebih banyak perusahaan Bumiputera berkembang ke skala lebih besar, bersaing dalam industri bernilai lebih tinggi dan menjadi peneraju pasaran,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Kepimpinan YP 2026 di sini hari ini.
Beliau menekankan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan potensi ekonominya sambil menaikkan taraf hidup asas rakyat.
“Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) melengkapkan hala tuju ini dengan memajukan penyertaan, pemilikan, dan daya saing Bumiputera yang bermakna.
“Pembangunan modal insan merupakan asas kepada kedua-dua agenda ini, namun ia mesti dikaitkan secara rapat dengan pertumbuhan perusahaan dan peluang ekonomi,” katanya.
“Di sinilah peranan pelengkap antara Yayasan Peneraju, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) menjadi sangat penting.
“Secara kolektif, mandat ketiga-tiga entiti ini menyokong ekosistem yang membangunkan bakat, memperkukuh perusahaan, memudahkan pengembangan perniagaan, serta menggalakkan pemilikan ekonomi jangka panjang,” kata Akmal Nasrullah.
Beliau berkata Yayasan Peneraju mengenal pasti dan memupuk bakat berpotensi tinggi untuk menjadi pencipta nilai dalam bidang profesional, perniagaan dan komuniti.
Sementara itu, Teraju memaklumkan bahawa ia menyokong pembangunan dan pengembangan perusahaan Bumiputera, manakala Ekuinas menyumbang melalui pelaburan, transformasi perniagaan dan penciptaan nilai jangka panjang.
-- BERNAMA