BERITA TERKINI   Ketua Pemuda UMNO Maran bersama isteri dan seorang anak serta adik ipar maut dalam kejadian pokok tumbang di Bentong - UMNO Bahagian Jerantut | KPT pantau rapi keselamatan pelajar susulan ketidaktentuan di Asia Barat - Zambry | Dewan Negara lulus RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 | Prosedur pemeriksaan juruterbang, kru penerbangan di lapangan terbang akan ditambah baik - KP AKPS | Badrul Hisham Mohd dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkuat kuasa 3 Ogos 2026 | 

Sarawak Energy Lantik Ruslan Abdul Ghani Sebagai bakal GCEO Berkuat Kuasa 1 September

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) -- Sarawak Energy Bhd (Sarawak Energy) mengumumkan pelantikan Datuk Ruslan Abdul Ghani sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) berkuat kuasa 1 September. 

Dalam kenyataan hari ini, Sarawak Energy menjelaskan Ruslan akan mengambil alih sepenuhnya jawatan itu bermula 1 November, susulan persaraan Datuk Sharbini Suhaili apabila kontraknya tamat pada akhir Oktober.

Kenyataan itu menyebut, sebelum menyertai Sarawak Energy, Ruslan berkhidmat sebagai Presiden dan CEO Kumpulan Bintulu Port Holdings Bhd. 

Ad Banner

“Bertugas sebagai jurutera, beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Warwick, United Kingdom dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor tenaga serta infrastruktur. 

“Sebelum menyertai Bintulu Port Holdings, beliau bertugas dengan Petronas selama 32 tahun, dengan memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan di Malaysia dan antarabangsa, termasuk Sudan, Iraq, Emiriah Arab Bersatu dan Turkmenistan.

“Sepanjang perkhidmatannya dengan Bintulu Port Holdings, beliau berperanan penting dalam memastikan kejayaan pemindahan pemilikan pelabuhan daripada persekutuan kepada Sarawak,” menurut kenyataan itu. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, Sarawak Energy menambah bahawa sebagai bakal CEO kumpulan, Ruslan akan bekerjasama rapat dengan Sharbini dan jawatankuasa eksekutif kumpulan sepanjang tempoh dua bulan akan datang bagi memastikan proses peralihan kepimpinan yang lancar dan teratur.

Pengerusi Sarawak Energy Datuk Ibrahim Baki pula berkata pelantikan itu mencerminkan keyakinan lembaga pengarah terhadap kemampuan Ruslan untuk menerajui Sarawak Energy ke fasa pertumbuhan seterusnya. 

“Kepakaranya dalam sektor tenaga dan infrastruktur, ditambah pula dengan komitmennya yang kukuh terhadap kecemerlangan operasi dan kemampanan, ia akan membolehkan Sarawak Energy terus memacu strategi jangka panjangnya sambil menyokong aspirasi tenaga boleh baharu Sarawak,” katanya. 

Ibrahim turut merakamkan penghargaan lembaga pengarah kepada Sharbini atas perkhidmatan dan kepimpinan korporatnya. 

“Di bawah kepimpinan Sharbini, Sarawak Energy telah berkembang menjadi salah satu entiti utiliti tenaga boleh baharu yang terkemuka di Asia Tenggara menerusi kejayaan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kecemerlangan Tenaga Sarawak.

“Beliau turut memperkukuhkan daya tahan operasi dan kewangan kumpulan, mengembangkan ketersambungan tenaga serantau dan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa tenaga boleh baharu,” katanya. 

-- BERNAMA