Indonesia, Thailand Sasar Dagangan Dua Hala US$20 Bilion Menjelang 2030
JAKARTA, 3 Ogos (Bernama) -- Indonesia menyasarkan peningkatan nilai perdagangan dua hala dengan Thailand kepada US$20 bilion menjelang 2030 menerusi Pelan Hala Tuju Perkongsian Strategik Indonesia-Thailand 2026-2030 yang dipersetujui kedua-dua negara pada Isnin.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata pelan hala tuju itu, yang diterima pakai semasa Rundingan Pemimpin Kedua bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul di Istana Merdeka di sini, akan menjadi kerangka bersama bagi memperkukuh kerjasama dua hala.
"Kami juga bersetuju memperluas pelaburan, meningkatkan akses pasaran dan memperkukuh kerjasama antara komuniti perniagaan, termasuk melalui penganjuran Suruhanjaya Perdagangan Bersama (JTC) yang pertama dalam sejarah sebagai mekanisme untuk membincangkan peluang perniagaan serta menangani pelbagai halangan perdagangan," katanya pada sidang media bersama yang disiarkan secara langsung menerusi YouTube.
Anutin tiba di Jakarta pada Isnin untuk lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada September 2025. Lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kedua-dua negara memperkukuh hubungan dua hala.
Prabowo berkata pertemuan itu merupakan Rundingan Pemimpin kedua sejak kedua-dua negara meningkatkan hubungan dua hala kepada status Perkongsian Strategik ketika lawatan beliau ke Bangkok tahun lalu.
Beliau berkata Indonesia dan Thailand turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan meliputi teknologi pertanian, logistik, pemprosesan makanan serta daya tahan rantaian bekalan.
Dalam sektor tenaga, Prabowo berkata kedua-dua negara menyokong penganjuran Forum Tenaga Indonesia-Thailand bagi memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga mampan menerusi kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.
Katanya, kedua-dua negara turut komited memperkukuh kerjasama ekonomi digital, termasuk menggalakkan penggunaan transaksi mata wang tempatan bagi meningkatkan kecekapan perdagangan dan pelaburan dua hala.
Prabowo berkata Indonesia dan Thailand juga boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam industri halal bagi membangunkan rantaian nilai halal di peringkat serantau dan global.
Beliau berkata pertemuan itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan bagi memperkukuh pembangunan modal insan.
Beliau turut mengalu-alukan perjanjian antara Tourism Authority of Thailand dan TransNusa berkaitan pelancongan serta kesalinghubungan, selain kerjasama antara Bio-Axel dan Pro Konsilium mengenai projek pemprosesan sisa organik.
Sementara itu, dalam ucapan pembukaan sebelum pertemuan dua hala itu, Anutin berkata Indonesia merupakan rakan dagang keempat terbesar Thailand dalam ASEAN, sambil menyatakan kedua-dua negara perlu meningkatkan lagi perdagangan dua hala berdasarkan saiz ekonomi masing-masing.
Beliau berkata Thailand bersedia menjadi tuan rumah Suruhanjaya Perdagangan Bersama (JTC) Thailand-Indonesia yang pertama di peringkat menteri perdagangan bagi memudah cara peningkatan perdagangan dan pelaburan, selain menetapkan sasaran perdagangan dua hala yang lebih bercita-cita tinggi.
Mengenai keterjaminan makanan, Anutin berkata Thailand bersedia kekal sebagai pembekal beras berkualiti tinggi yang boleh dipercayai kepada Indonesia, di samping mendapatkan akses lebih luas bagi produk pertanian, daging, produk tenusu dan mesin pertanian Thailand ke pasaran Indonesia.
Beliau berkata Thailand turut berharap dapat meningkatkan import baja urea dari Indonesia daripada jumlah semasa kira-kira 60,000 tan setahun kepada beberapa ratus ribu tan.
Anutin turut menggesa kerjasama lebih rapat dalam industri halal, termasuk memperbaharui perjanjian pengiktirafan bersama mengenai pensijilan halal sebelum tempoh sahnya tamat pada November.
-- BERNAMA