Bursa Malaysia Dibuka Rendah, Menjejaki Penyusutan Semalaman Wall Street
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari ini dengan aktiviti belian dan jualan saling seiringan membabitkan beberapa saham wajaran tinggi terpilih susulan kerugian semalaman di Wall Street sebagai reaksi terhadap kenaikan harga minyak mentah, kata penganalisis.
Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.47 mata kepada 1,736.68 berbanding 1,737.15 pada penutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.93 mata lebih rendah pada 1,735.22.
Di pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 210 berbanding 185 manakala 350 kaunter tidak berubah, 2,028 kaunter tidak diniagakan dan 21 kaunter digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 318.39 juta saham yang bernilai RM202.37 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street terjejas selepas harga minyak mentah melonjak ke paras kira-kira US$82 setong apabila Iran mengeluarkan deraf pelan lebih ketat bagi Selat Hormuz.
Pada masa sama, peniaga juga sedang menunggu pengumuman data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) bagi Julai yang akan diumumkan lewat hari ini, khususnya membabitkan data senarai gaji bukan perladangan.
“Di pasaran tempatan, indeks penunjuk utama FBM KLCI susut susulan jualan oleh dana asing di penghujung sesi dagangan.
“Aktiviti jualan itu bersifat meluas ketika peniaga berkemungkinan memutuskan untuk mendapatkan keuntungan selepas bursa mencatat kenaikan kukuh baru-baru ini,” katanya.
Berikutan perkembangan itu, Thong menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,730 hingga 1,745 dalam dagangan hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut empat sen kepada RM10.76, Public Bank dan CIMB Group masing-masing turun lima sen kepada RM5.18 dan RM7.92, IHH Healthcare merosot tiga sen kepada RM8.30 dan Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM14.60.
Bagi saham aktif, Perak Transit naik dua sen kepada 19.5 sen, Steel Hawk menokok setengah sen kepada 14.5 sen, Malaysian Resources Corp kekal tidak berubah pada 34 sen manakala TWL Holdings susut setengah sen kepada dua sen.
Kaunter paling aktif didahului oleh Tong Herr Resources yang menokok 50 sen kepada RM2.40, YTL Power International naik 16 sen kepada RM4.53, Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM14.60, Sunway meraih sembilan sen kepada RM5.22 dan Press Metal Aluminium menambah tujuh sen kepada RM8.06.
Sebaliknya, kaunter rugi menyaksikan Malaysian Pacific Industries susut 58 sen kepada RM47.08, United Plantations turun 48 sen kepada RM33.72, Pentamaster Corp merosot 28 sen kepada RM5.43, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 22 sen kepada RM21.38 dan Petronas Dagangan berkurangan 12 sen kepada RM19.44.
Bagi indeks pula, Indeks FBM Emas susut 6.39 mata kepada 12,849.63, Indeks FBM Top 100 merosot 7.19 mata kepada 12,678.09, Indeks FBM ACE turun 1.70 mata kepada 5,036.05, Indeks FBM Mid 70 menguncup 26.29 mata kepada 18,299.77, namun Indeks FBM Emas Syariah meningkat 9.22 mata kepada 12,700.76.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 80.15 mata kepada 20,439.70, Indeks Perladangan berkurangan 19.81 mata kepada 9,444.74, Indeks Tenaga meningkat 1.39 mata kepada 763.80 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.77 mata kepada 188.55.
-- BERNAMA