Sektor Perladangan, Utiliti, Penjagaan Kesihatan Tarik Aliran Masuk Asing RM299.6 Juta Minggu Lepas
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Sektor perladangan, utiliti dan penjagaan kesihatan telah menarik jumlah aliran masuk asing bersih sebanyak RM299.6 juta ke Bursa Malaysia minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Sektor perladangan mendahului aliran masuk sebanyak RM131.1 juta, diikuti sektor utiliti (RM84.5 juta) dan penjagaan kesihatan (RM84 juta).
Sebaliknya, sektor perkhidmatan kewangan, produk perindustrian dan perkhidmatan serta hartanah mencatatkan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM439.7 juta, menurut MBSB IB dalam Laporan Aliran Dana mingguan bagi minggu berakhir 18 Sept 2026.
“Di Bursa Malaysia, institusi asing menamatkan trend jualan bersih selama enam minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM127.0 juta.
“Institusi asing merupakan pembeli bersih pada tiga daripada empat hari dagangan pada minggu yang singkat itu, dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM56.5 juta, diikuti Isnin (RM50.6 juta) dan Khamis (RM37.3 juta),” menurutnya, sambil menambah satu-satunya aliran keluar bersih dicatatkan pada Selasa, berjumlah RM17.5 juta.
Selain itu, MBSB IB memaklumkan institusi tempatan meneruskan trend jualan bersih mereka untuk tempoh dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM368 juta.
Pelabur runcit meneruskan trend belian bersih mereka selama empat minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM241 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) meningkat secara menyeluruh, dengan penyertaan pelabur runcit merosot 7.7 peratus manakala institusi tempatan dan institusi asing, masing-masing meningkat sebanyak 10.6 peratus dan 41.3 peratus.
Menurut MBSB IB, Malaysia dan Vietnam hanya dua pasaran dalam kalangan lapan pasaran Asia yang dipantau mencatatkan aliran masuk asing bersih manakala pelabur asing kekal sebagai penjual bersih di seluruh Asia untuk minggu kelima berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar asing bersih mencecah US$7.76 bilion (US$1=RM4.08).
Korea Selatan mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi, diikuti India, Taiwan, Indonesia, Thailand dan Filipina.
-- BERNAMA