GLIC Salur Pelaburan RM1.4 Bilion Pada 2025 Perkasa Rantaian Nilai Semikonduktor Malaysia
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah menyalurkan pelaburan sebanyak RM1.4 billion pada 2025 merentasi empat teras strategik untuk memperkasa rantaian nilai semikonduktor Malaysia.
Menurut laporan kemajuan GEAR-uP Kementerian Kewangan (MoF) yang dikeluarkan hari ini pelaburan itu memberi tumpuan untuk melonjakkan jaguh semikonduktor tempatan, memacu pemindahan teknologi bernilai tinggi, mengembangkan ekosistem teknologi mendalam dan menjalin kerjasama strategik melangkaui sempadan.
“Permintaan global semikonduktor terus melonjak dipacu kecerdasan buatan (AI). Walaupun Malaysia menguasai kira-kira 13 peratus pasaran pengujian dan pembungkusan global, daya saing jangka panjang negara bergantung kepada keupayaan menguasai segmen bernilai tinggi yang dipacu harta intelek.
“Ini merangkumi reka bentuk Litar Bersepadu (IC), seperti digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional,” maklum laporan itu.
GLIC menyalurkan dana jangka panjang bagi menyokong syarikat teknologi domestik sepanjang kitaran hayat perniagaan mereka, daripada modal teroka awal hingga penyenaraian awam, membolehkan syarikat semikonduktor tempatan mengembangkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta bersaing di peringkat global.
Selain itu GLIC turut menjadi pelabur aktif bagi menarik inovator global ke Malaysia dan memudah cara pemindahan keupayaan bernilai tinggi kepada industri semikonduktor domestik, di samping bekerjasama dengan veteran industri melalui inisiatif seperti Dana Cambrian bagi memupuk syarikat pemula generasi baharu serta memperkukuh ekosistem teknologi mendalam negara.
Menurut laporan itu GLIC turut menjalin kerjasama strategik dengan dana antarabangsa, termasuk Chengwei Capital, NRL Capital, InterVest, dan Ilham Capital, bagi memudah cara kemasukan kepakaran khusus serta menghubungkan pemain semikonduktor Malaysia dengan rantaian bekalan global.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah syarikat reka bentuk IC tulen, SkyeChip yang meraih tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM352 juta di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Mei tahun ini dengan lebih 60 peratus (RM212 juta) daripada hasil itu diperuntukkan bagi R&D harta intelek silikon dan produk silikon, manakala 15.5 peratus daripada peruntukan asas IPO dilanggan GLIC.
Laporan itu turut mengetengahkan pelaburan Khazanah Nasional Bhd dalam firma AI berpangkalan di Amerika Syarikat, Syntiant, menerusi penubuhan kampus seluas 220,000 kaki persegi di Pulau Pinang yang menghimpunkan pemprosesan sistem mikro-elektro-mekanikal (MEMS) termaju dan kejuruteraan AI di bawah satu bumbung.
Pelaburan itu telah mencipta 200 pekerjaan berkemahiran tinggi daripada keseluruhan 800 pekerjaan yang dirancang, menyasarkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.6 bilion komponen MEMS termaju serta menjana RM118 juta perbelanjaan tempatan setakat Jun 2026.
Bagi memperkukuh ekosistem teknologi mendalam Malaysia, Khazanah turut menerajui Dana Cambrian, yang setakat Jun 2026 telah melengkapkan penutupan kedua berjumlah RM105 juta bagi menyokong syarikat peringkat awal sektor IR4.0 dan teknologi mendalam, dengan 15 syarikat pemula disasarkan menerima bimbingan serta sokongan bagi mencapai skala komersial.
Sementara itu, Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah membuat komitmen berjumlah RM695 juta merentasi dana teknologi mendalam serantau yang strategik pada 2025 menerusi kerjasama dengan Chengwei Capital, NRL Capital, InterVest dan Ilham Capital.
Langkah itu adalah untuk memudah cara pemindahan teknologi serta menyediakan akses kepada syarikat semikonduktor Malaysia kepada modal, rakan kongsi teknologi dan peluang rantaian bekalan serantau.
-- BERNAMA