Pengaturan Swap Mata Wang Malaysia-China Diperbaharui Untul Lima Tahun
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan People’s Bank of China telah memperbaharui pengaturan swap mata wang dua hala mereka untuk tempoh lima tahun, berkuat kuasa mulai 2026 hingga 2031.
BNM melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan saiz pengaturan itu telah diperluaskan kepada 220 bilion renminbi (RM130 bilion) daripada 180 bilion renminbi (RM110 bilion) sebelum ini.
"Perjanjian itu mula-mula diwujudkan pada 2009 dan diperbaharui menjelang 2012, 2015, 2018 serta 2021.
"Pembaharuan dan pengembangan pengaturan ini mengesahkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua bank pusat itu," katanya.
BNM berkata pengaturan itu memudahkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia serta China, selain mengukuhkan hubungan ekonomi dan kewangan termasuk menyumbang kepada kestabilan serta daya tahan kewangan serantau.
-- BERNAMA