BERITA TERKINI   Agong titah siasatan berhubung Laporan RCI TH dilaksanakan secara menyeluruh, tiada kompromi mana-mana pihak yang didapati bersalah | Aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan lebih berkesan, pemantauan berterusan - Agong | Perkukuh kawalan keselamatan di semua lapangan terbang, pintu masuk negara bendung jenayah rentas sempadan - Agong | 25 titik panas dikesan seluruh negara, 22 di Sarawak, dua Selangor dan satu di Terengganu - JAS | Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan - JAS | 

Ringgit Dijangka Kekal Dalam Jajaran 4.07-4.09 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil berbanding dolar AS minggu depan, diniagakan antara paras RM4.07 dan RM4.09 apabila para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati terhadap hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para pelabur dijangka mengalih perhatian mereka kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan pada 12 Ogos 2026, dengan unjuran konsensus pada 3.4 peratus.

Ad Banner

Di dalam negara, katanya, para pelabur juga akan memantau data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2026 yang dijadual diumumkan pada 14 Ogos.

“Kami percaya pertumbuhan KDNK suku kedua 2026 dijangka menyamai anggaran awal pada 5.8 peratus,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ahli strategi global Quintex Intel Stephen Innes berkata ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.0825 dan RM4.0975 berbanding dolar AS.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata laporan terbaharu senarai pekerja bergaji bukan ladang AS dijangka dapat  mengukuhkan jangkaan bahawa pasaran buruh berada pada kadar terkawal, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi yang ketara.

"Walaupun dengan data senarai pekerja yang lebih rendah, pasaran masih percaya Rizab Persekutuan AS akan terus menumpu kepada risiko inflasi.

"Ini membayangkan dolar AS mungkin menyusut sedikit minggu depan namun penurunan tidak dijangka berterusan ketika harga minyak masih kekal kukuh," kata Innes.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.0885/0930 daripada 4.0835/0875 pada seminggu sebelumnya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini mata wang tempatan diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.5813/5843 daripada 2.5520/5548 pada minggu sebelumnya, menyusut berbanding euro kepada 4.7132/7184 daripada 4.6981/7027 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.4949/5010 daripada 5.4923/4977.

Ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1911/1949 daripada 3.1823/1856 dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.72 daripada 6.66/6.67 seminggu sebelumnya.

Ringgit merosot sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.3665/3843 daripada 12.2264/2435 dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 228.4/228.7 daripada 226.6/226.8.

-- BERNAMA