Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Tinggi
KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi apabila jangkaan penurunan kenaikan kadar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat telah meningkatkan permintaan terhadap logam berharga itu.
Jangkaan kadar faedah yang lebih rendah cenderung menyokong emas dengan mengurangkan kos lepas memegang aset tidak produktif, menjadikannya lebih menarik kepada pelabur, kata seorang peniaga.
Laporan pekerjaan AS bagi Julai agak lemah, dengan jumlah gaji merosot sebanyak 23,000.
Pada penutup, kontrak semerta bulan Ogos 2026 meningkat kepada US$4,359.0 setiap auns troy daripada US$4,322.90 setiap auns tory pada Jumaat lepas, manakala September 2026 menokok kepada US4,373.30 setiap auns tory daripada US$4,335.80 sebelumnya.
Kontrak Oktober 2026, November 2026 dan Disember 2026 semuanya meningkat kepada US$4,388.20 setiap auns troy daripada US$4,349.20 setiap auns troy sebelumnya.
Jumlah dagangan berkurang kepada 166 lot daripada 404 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 242 kontrak daripada 477 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,335.55 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 7 Ogos 2026.
-- BERNAMA