Perniagaan, Orang Awam Berperanan Penting Dalam Perkukuh Keselamatan Tenaga Di Malaysia
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Perniagaan dan orang awam memainkan peranan penting dalam menyokong keselamatan tenaga di Malaysia, menjadi semakin kritikal memandangkan ketegangan geopolitik global terus mengganggu landskap tenaga.
Ketidakpastian ini juga mendorong perniagaan dan individu menilai semula keutamaan memandangkan lebih ramai yang menyedari kepentingan kemampanan dan peralihan tenaga.
Pengarah Kemampanan dan Pembangunan Strategik Emerging EPC Sdn Bhd, Dr John Loh berkata konflik di Asia Barat telah meningkatkan ketidakpastian merentasi rantaian bekalan tenaga, menjejaskan kos pengangkutan, bahan import, jadual penghantaran dan keseluruhan perancangan projek, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perindustrian yang sangat bergantung pada peralatan import dan beroperasi dengan margin yang lebih ketat.
Emerging EPC adalah penyepaduan sistem yang mengkhusus dalam peralatan minyak dan gas direka khas serta pembungkusan proses memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat merentasi pelbagai pasaran.
“Bagi pihak kami, ketidakpastian global semasa mengukuhkan kepentingan perjalanan transformasi yang kami mulakan pada tahun 2022, berteraskan kelestarian, pendigitalan dan daya tahan tenaga, katanya.
“Usaha ini mencerminkan keyakinan kami bahawa kelestarian, pendigitalan dan daya tahan tenaga bukan lagi pilihan tetapi pemboleh kritikal untuk perniagaan bersedia masa depan dan kesediaan rantaian bekalan yang lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.
Menurut data daripada Bank Dunia dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), penggunaan tenaga per kapita Malaysia masih agak tinggi berbanding negara jiran serantau, manakala tahap kecekapan tenaganya masih ketinggalan berbanding negara-negara Asia Timur yang lebih maju.
Pengalaman antarabangsa telah menunjukkan bahawa langkah kecekapan tenaga boleh memainkan peranan penting dalam memelihara kestabilan bekalan semasa tempoh tekanan harga global.
Sebagai contoh, Kesatuan Eropah, mengurangkan penggunaan gas asli sekitar 15 peratus hingga 18 peratus pada 2022, manakala Jepun dan Korea Selatan menurunkan permintaan tenaga masing-masing kira-kira lapan hingga 10 peratus antara 2022 dan 2023 menerusi perubahan tingkah laku dan amalan pengurusan tenaga lebih baik.
Walaupun jaminan baru-baru ini mengenai bekalan bahan api telah membantu mengukuhkan keyakinan orang ramai, terdapat risiko bahawa rakyat Malaysia mungkin menjadi selesa dalam menguruskan penggunaan tenaga dan membuat persediaan menghadapi tempoh volatiliti pasaran yang berpanjangan.
Bagi menangani impak merugikan daripada konflik tersebut, Loh berkata perniagaan boleh menyumbang dengan meningkatkan kecekapan operasi melalui teknologi seperti pengoptimuman logistik, kecerdasan buatan (AI) dan penyeragaman proses, ia boleh membantu meredakan tekanan ke atas sistem tenaga domestik.
Perjalanan Kemampanan
Menurut Loh, perjalanan kemampanan Emerging EPC bermula pada 2022, dipacu oleh keyakinan bahawa kelestarian, amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta penyahkarbonan adalah penting untuk mengukuhkan daya tahan dan daya saing perniagaan jangka panjang.
Syarikat itu adalah antara PKS perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) terawal yang secara sukarela menerbitkan laporan kelestarian tahunan, sejajar dengan rangka kerja diiktiraf peringkat antarabangsa, termasuk Inisiatif Pelaporan Global dan rangka kerja kemampanan Bursa Malaysia.
“Kami telah berjaya menyiapkan tiga kitaran pelaporan kelestarian berturut-turut, mengukuhkan tadbir urus dalaman, libat urus dengan pihak berkepentingan dan keupayaan penjejakan prestasi, katanya.
Pada 2024, Emerging EPC menyiapkan latihan perakaunan gas rumah hijau pertamanya berdasarkan metodologi Pertubuhan Piawaian Antarabangsa yang memperkukuh komitmennya terhadap pemuliharaan tenaga dan kecekapan sumber merentasi operasinya.
Syarikat itu juga mula memantau secara sistematik penggunaan elektrik, penggunaan bahan api, penjanaan sisa dan pelepasan operasi merentasi pejabat, operasi kejuruteraan dan tapak fabrikasinya untuk menyokong perancangan dan pelaporan kelestarian lebih termaklum.
Sebagai sebahagian daripada usaha peralihan tenaga yang lebih luas, syarikat itu telah melabur dalam pemasangan solar fotovoltaik atas bumbung untuk mengurangkan pergantungan pada elektrik grid dan mengurangkan pelepasan karbon.
Ia juga telah melaksanakan sistem rancangan sumber perusahaan dan membangunkan platform Emerging Asset Reliability and Sustainability (EARS) miliknya untuk meningkatkan kebolehpercayaan peralatan, pemantauan tenaga dan membuat keputusan berasaskan data.
“Membina ekosistem OGSE yang mampan dan berdaya tahan juga memerlukan kerjasama seluruh industri. Kami mengambil bahagian dalam Program Sokongan Pembekal Petronas (PSSP), inisiatif khusus yang bertujuan membantu syarikat OGSE mengukuhkan keupayaan kelestarian dan mempercepatkan kesediaan ke arah masa depan rendah karbon.
“Di sebalik perjalanan transformasi kami, kami percaya pembinaan ekosistem OGSE yang mampan dan berdaya tahan memerlukan sokongan dan kerjasama industri,” kata Loh.
“Kami berpeluang mengadakan libat urus dengan Petronas, salah satunya menerusi PSSP untuk mendapatkan lebih banyak pandangan mengenai cara kami sebagai sebuah syarikat boleh meningkatkan lagi pelaporan kelestarian, pengurusan karbon, pendigitalan dan pelaksanaan ESG,” katanya lagi.
Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, pendedahan kelestarian dan akses kepada pembiayaan mampan, dengan matlamat mengukuhkan keupayaan pembekal, meningkatkan pematuhan dan mempertingkatkan daya tahan rantaian bekalan keseluruhan.
Pada 10 Jun, Kementerian Kewangan bahawa walaupun pasaran petroleum global baru-baru ini menunjukkan tanda-tanda kestabilan lebih besar, ketidakpastian yang menyelubungi bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan secara bermusim terus mempengaruhi pasaran minyak antarabangsa.
Kerajaan menganggarkan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel kekal tinggi pada kira-kira RM3.5 bilion sebulan pada harga semasa, menekankan beban fiskal dikaitkan dengan pengekalan kemampuan bahan api domestik.
Selain daripada itu, kerajaan telah berulang kali menyeru rakyat Malaysia supaya berhemat dalam penggunaan bahan api bagi melanjutkan tempoh penimba memandangkan ketidakpastian global dijangka berterusan.
-- BERNAMA