Kerangka Penyenaraian Dwi IPO Malaysia-Hong Kong Berkuat Kuasa September 2026
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kerangka Penyenaraian Dwi tawaran awam permulaan (IPO) yang dimudahcara antara Malaysia dan Hong Kong akan berkuat kuasa pada September 2026, sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan pasaran modal antara kedua-dua ekonomi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerangka itu merupakan antara perkembangan terkini hubungan ekonomi Malaysia-Hong Kong susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong pada 23 Julai lepas.
“MoU itu meningkatkan lagi pengiktirafan bersama dana yang meliputi dana dagangan bursa (ETF) dan amanah pelaburan hartanah (REIT) selain mewujudkan kerangka penyenaraian dwi IPO yang dimudahcara dan berkuat kuasa pada bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan acara “Think Business, Think Hong Kong 2026” di sini, hari ini.
Loke berkata Bursa Saham Hong Kong Ltd (HKeX) turut mengiktiraf Bursa Malaysia sebagai Bursa Saham Diiktiraf (RSE) yang membolehkan syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia, memohon penyenaraian kedua di Hong Kong.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai peluang yang membolehkan syarikat-syarikat Malaysia mendapat akses lebih besar terhadap pasaran modal serta pelabur Hong Kong.
“Pihak pengawal selia boleh memeterai perjanjian dan kerajaan membuka pejabat, namun ini akan hanya bermakna apabila syarikat Malaysia mengemukakan permohonan bagi penyenaraian dwi berkenaan atau apabila pengurus dana Hong Kong dapat membawa satu produk kepada pelabur Malaysia,” katanya.
Loke berkata kesalinghubungan antara Malaysia dan Hong Kong yang semakin berkembang, lebih-lebih lagi berikutan penerbangan Kuala Lumpur dan Hong Kong hanya mengambil masa kurang empat jam selain berkongsi zon waktu yang sama.
Beliau berkata Cathay Pacific misalnya telah menambah penerbangan keempat setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Hong Kong sejak Mac lepas yang mencerminkan peningkatan permintaan komersial.
Pada masa sama, Malaysia Airlines menambah penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Shenzhen dan Changsha pada Julai yang menjadikan rangkaian penerbangannya ke China meliputi sembilan destinasi.
Menurut Loke, dari segi hubungan kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong adalah antara hab kargo tersibuk di dunia manakala Pelabuhan Klang pula terletak di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Beliau juga menyifatkan gabungan kekuatan Hong Kong dari segi logistik, pembiayaan perdagangan, timbang tara dan perkhidmatan profesional serta peningkatan eksport Malaysia dalam sektor elektronik, semikonduktor dan barangan bernilai tinggi lain, turut membuka lebih banyak peluang bagi perniagaan di kedua-dua pasaran.
Dalam pada itu, Loke menggesa kalangan wakil perniagaan yang menghadiri simposium itu untuk bertindak memanfaatkan peluang daripada hubungan pasaran modal yang erat antara Malaysia dan Hong Kong.
Hubungan antara kedua-dua ekonomi itu, katanya, adalah kukuh berbanding persepsi dengan Hong Kong muncul antara pelabur penting Malaysia sejak beberapa dekad lepas manakala Malaysia adalah antara rakan dagang utama Hong Kong dalam ASEAN.
Sehubungan itu, beliau optimis kerjasama lebih erat dalam pasaran modal, perdagangan dan pelaburan akan terus memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Hong Kong.
-- BERNAMA