BERITA TERKINI   Masalah kewangan TH mungkin dapat dibendung lebih awal jika amaran BNM ditangani sewajarnya sejak 2014 - Zulkifli | Kerajaan tegaskan simpanan pendeposit TH selamat - MOF | Kerajaan tegaskan kerugian TH yang berpunca daripada salah urus kewangan, pelaburan sebelum 2018 tidak hilang - MOF | Kerajaan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa; keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada pendakwa raya - MOF | Cadangan wujudkan 'multi-agency task force' siasat pelaburan TH yang berisiko kerugian, diteliti untuk pelaksanaan - Zulkifli | 

Kerajaan Disaran Wujudkan Kawal Selia Tunggal Terhadap Institusi Kewangan Bukan Bank - Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen menyarankan supaya kerajaan mewujudkan pengawal selia tunggal untuk institusi kewangan bukan bank (NBFI) yang memiliki aset yang besar ditempatkan di bawah payung penyeliaan yang sama.

Saranan oleh Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) itu merangkumi NBFI utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut beliau, pada masa ini negara tidak mempunyai satu pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab terhadap penyeliaan berhemat, penilaian risiko sistemik serta pengawasan tadbir urus untuk sektor kewangan bukan bank.

Ad Banner

“Penubuhan (pengawal selia tunggal) ini penting kerana institusi berkenaan memainkan peranan penting dalam sistem kewangan negara memandangkan pelaburan mereka mempunyai implikasi terhadap pasaran modal, pembiayaan kerajaan, keselamatan persaraan dan daya tahan ekonomi negara.

"Berbeza dengan sektor perbankan yang penyeliaannya berpusat di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), sektor kewangan bukan bank masih tertakluk kepada rangka kerja penyeliaan yang berbeza-beza," katanya dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan RCI TH di Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) turut mencadangkan agar kerajaan merangka kawal selia yang jelas dan menyeluruh untuk institusi kewangan bukan bank. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Pada masa ini kita tidak mempunyai satu kerangka kawal selia yang jelas dan menyeluruh untuk institusi kewangan bukan bank atau non-financial institution, sebaliknya setiap institusi mempunyai akta masing-masing dan berada di bawah seliaan kementerian yang berbeza.

"Sebagai contoh, TH diselia oleh Jabatan Perdana Menteri, LTAT diselia oleh Kementerian Pertahanan, KWSP dan KWAP diselia oleh Kementerian Kewangan, PTPTN di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan PNB pula diletak di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra yang dipengerusikan Perdana Menteri,” tambahnya.

Seramai 39 wakil rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan mesyuarat khas berkenaan.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan, 2022, yang menyaksikan laporan berkenaan kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos, 2022.

-- BERNAMA