BERITA TERKINI   Sektor perkhidmatan Malaysia berkembang sebanyak 11.2 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026 dan hasil mencapai RM714.7 bilion - DOSM | Enam sekolah di Tebedu, Sarawak ditutup pagi ini susulan bacaan IPU melebihi 200 - Jabatan Pendidikan Negeri | PM Anwar dijangka dibenarkan keluar dari hospital hari ini selepas jalani rawatan - Dr Wan Azizah | Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh universiti awam kepada calon berjaya mulai 15 Ogos - KPT | Keputusan permohonan ke universiti awam bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda untuk lepasan STPM/ Setaraf diumum 14 Ogos - KPT | 

Kerajaan Ikrar Perkukuh TH, Perketat Kawal Selia Kewangan Dan Pelaburan, Tidak Ulangi Krisis Mesej Jelas Sidang Khas Dewan Rakyat

Oleh Nor Baizura Basri & Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Ikrar kerajaan untuk berusaha sedaya upaya memperkukuh Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi dasar kawal selia dan polisi lebih ketat bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi, antara mesej jelas pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam. 

Pada sidang khas yang berlangsung selama lebih 10 jam itu, kerajaan menjelaskan pelaksanaan pindaan Akta Tabung Haji 1955 yang sedang dilaksanakan selaras dengan saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menerusi laporannya. 

Ad Banner

Ketika membentangkan laporan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata satu pasukan kerja yang diketuai Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi telah ditubuhkan bagi meneliti dapatan dan cadangan RCI.

“Saya dimaklumkan bahawa pasukan ini bersetuju mengesyorkan supaya aspek pengurusan dana dan pelaburan TH dikawal selia oleh SC sementara aspek pe­ngurusan haji akan dikawal selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dengan TH kekal sebagai satu entiti yang utuh.

“Butiran lanjut syor itu akan diberi kepada saya untuk pertimbangan lanjut bagi dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan seterusnya,” katanya pada sidang khas itu. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut membentangkan mengenai 14 pelaburan bermasalah, usaha pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dan bagaimana situasi kewangan TH sekiranya tidak diselamatkan (bailout) serta pengeluaran panik pendeposit akibat defisit keyakinan pada ketika itu. 

Zulkifli berkata kerugian yang dihadapi TH, hampir mencecah RM13 bilion selain kerajaan berisiko menanggung liabiliti kira-kira RM74.5 bilion pada 2018 sekiranya berlaku pengeluaran panik secara besar-besaran. 

Pada sesi penggulungan, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan secara terperinci bagaimana tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah rugi 100 peratus, selain pelaburan dalam Putrajaya Perdana Bhd secara tidak langsung mengheret TH dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

Dengan tegasnya, beliau berkata kerajaan MADANI tidak berselindung apa-apa walaupun ada angka yang menyakitkan. 

Beliau berkata akauntabiliti akan ditegakkan tanpa pilih kasih, dengan siasatan hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah. 

“TH diperkukuh supaya sejarah tidak berulang. Akta 535 akan dipinda supaya ahli politik aktif dilarang secara berkanun daripada menganggotai Lembaga Pengarah; pelaburan TH dikawal selia SC; hibah berpaksikan akaun diaudit dan setiap keputusan mengenai TH diukur dengan satu neraca sahaja, iaitu kepentingan ummah,” katanya. 

Terdahulu, seramai 39 Ahli Parlimen diberi tempoh lima minit untuk membahaskan isu berkenaan.

Antara cadangan yang dikemukakan pembahas termasuklah mewujudkan pengawal selia tunggal untuk institusi kewangan bukan bank (NBFI) yang memiliki aset yang besar ditempatkan di bawah payung penyeliaan yang sama.

Cadangan oleh Ahli Parlimen Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) itu merangkumi NBFI utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan TH.

Menurut beliau, pada masa ini, negara tidak mempunyai satu pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab terhadap penyeliaan berhemat, penilaian risiko sistemik serta pengawasan tadbir urus untuk sektor kewangan bukan bank.

Sementara itu, Ahli Parlimen (PH-Bentong) Young Syefura Othman turut meminta kerajaan memperincikan langkah untuk mengurangkan kebergantungan TH ke atas pendapatan sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang menurut laporan RCI menyumbang hampir 26 peratus daripada pendapatan tahunan institusi itu.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

-- BERNAMA