Keuntungan Suku Kedua Vstecs Meningkat 50 Peratus Kepada RM30.31 Juta
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Vstecs Bhd bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 meningkat 50 peratus kepada RM30.31 juta daripada RM20.17 juta pada tempoh yang sama tahun lepas disokong oleh kekukuhan dalam semua segmen perniagaannya.
Pendapatan melonjak 31.7 peratus kepada RM1.08 bilion daripada RM818.87 juta sebelumnya, disumbangkan oleh jualan tinggi daripada ketiga-tiga segmen perniagaan, iaitu pengedaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sistem perusahaan dan perkhidmatan ICT, maklum syarikat itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut Vstecs, pendapatan pengedaran ICT meningkat sebanyak 19.6 peratus dalam semua kategori produk utama kecuali barang guna habis, bekalan dan tablet, pendapatan daripada sistem perusahaan melonjak 46.2 peratus dalam semua kategori produk utama kecuali storan dan komputer peribadi desktop komersial manakala pendapatan perkhidmatan ICT naik RM12 juta disumbang oleh pendapatan tinggi daripada perkhidmatan awan.
Bagi tempoh enam bulan pertama, keuntungan bersih Vstecs meningkat kepada RM53.19 juta daripada RM37.92 juta dalam tempoh yang sama pada 2025, manakala pendapatan meningkat kepada RM2.13 bilion daripada RM1.51 bilion sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif JH Soong berkata syarikat itu gembira dapat mencatatkan satu lagi pertumbuhan suku tahunan yang kukuh dalam semua segmen perniagaannya meskipun berdepan cabaran luaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Industri ICT global terus mengalami kekurangan unit pemprosesan pusat dan cip memori, mengakibatkan kos komponen yang lebih tinggi dan masa tunggu yang lebih lama, dan ini dijangka berterusan dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana.
"Kami kekal optimis pada masa depan. Walaupun kekangan bekalan dan tekanan harga ketika ini dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat, kami percaya ini adalah cabaran sementara dan prospek pertumbuhan jangka panjang untuk industri ICT masih kekal menarik," katanya.
Beliau berkata syarikat itu yakin dengan keupayaannya untuk mengharungi cabaran jangka pendek ini sambil terus merebut peluang pertumbuhan yang disokong oleh lembaran imbangan yang kukuh, pelaksanaan berdisiplin, sistem operasi dalaman mantap dan kedudukan kukuh dalam ekosistem teknologi.
-- BERNAMA