Pengisaran Koko Malaysia Naik 29 Peratus Kepada 90,849 Tan Pada Suku Kedua 2026 - Barry Callebaut
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Industri koko Malaysia sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan kenaikan pengisaran koko sebanyak 29 peratus tahun ke tahun kepada 90,849 tan pada suku kedua 2026, walaupun berdepan turun naik bekalan dan harga sejak dua tahun lalu, kata firma pengeluar coklat Barry Callebaut.
Menurut Persatuan Koko Asia dan Lembaga Koko Malaysia, jumlah pengisaran di Malaysia pada suku kedua 2026 menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pengisaran koko di Asia.
Pengarah Urusan Barry Callebaut Asia Tenggara Ciptadi Sukono berkata ketika berhadapan dengan ketegangan geopolitik dan perang di Asia Barat, pengeluar koko dan coklat yang berpangkalan di Zurich itu telah mengalami turun naik dalam harga serta bekalan koko, tetapi industri koko kini menunjukkan isyarat pemulihan yang ketara.
“Penggunaan koko mula meningkat kembali apabila harga mula mencatatkan sedikit penurunan.
“Semoga sebagai sebuah industri, kita lebih bersedia pada masa akan datang sekiranya perkara seperti ini berlaku lagi.
“Pada masa sama, kami melihat penggunaan koko semakin meningkat semula,” katanya pada sidang media pada Barry Callebaut’s Masters of Taste 2026 di sini hari ini.
Mengulas mengenai pertumbuhan industri di Malaysia, Ciptadi berkata kehadiran pasaran syarikat telah berubah menerusi model pengedarannya, daripada pengedar tunggal kepada rangkaian tujuh rakan kongsi pengedaran di seluruh negara, sekali gus meningkatkan jangkauannya dan membolehkannya melayani lebih ramai pelanggan.
“Malaysia adalah antara negara yang paling pesat membangun di ASEAN, selain Vietnam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Mata wangnya telah menunjukkan prestasi yang kukuh, sekali gus meningkatkan kuasa membeli dengan ketara, jadi saya fikir ia turut memacu pertumbuhan,” katanya.
Mengenai perubahan pilihan pengguna dalam sektor coklat dan konfeksi negara, jelas Ciptadi, pasaran diunjurkan mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun melebihi tujuh peratus menjelang 2031.
“Malaysia memiliki budaya kulinari yang kukuh dan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan sektor makanannya.
“Penembusan produk coklat yang semakin meningkat bakal terus memacu pengembangan dalam pasaran ini,”
“Selain itu, kreativiti yang dipamerkan oleh pemain industri dalam mengubah bahan mentah koko kepada sesuatu yang inovatif adalah selaras dengan trend global dan secara berkesan menyetempatkan perkembangan ini di Malaysia,” katanya.
Sehingga kini, Barry Callebaut mempunyai lebih 400 pekerja di Malaysia, yang berkhidmat di pusat pemprosesan koko di Pasir Gudang, Johor, di samping salah satu gudang biji koko terbesar di Asia Pasifik, yang diuruskan dengan kerjasama penyedia logistik global Maersk, selain Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global di Petaling Jaya.
-- BERNAMA