BERITA TERKINI   Aspek pendidikan, keselamatan anak-anak di sekolah adalah tanggungjawab bersama ibu bapa dan warga pendidik - PM Anwar | PM Anwar mahu tindakan cepat dan tegas diambil terhadap sebarang kes yang mengancam keselamatan pelajar di sekolah | Malaysia negara pertama berjaya menghantar pulang tahanan Myanmar ke negara asal - PM Anwar  | 10,000 warga Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal sejak Januari 2026 - PM Anwar | Kerajaan alu-alukan ahli akademik menilai, beri kritikan membina terhadap pelaksanaan Rancangan Malaysia, termasuk RMK-13 - Fahmi | 

Maxis Lantik Goh Seow Eng Sebagai Pengarah Eksekutif

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Maxis Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Goh Seow Eng sebagai Pengarah Eksekutif syarikat itu berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan Goh telah memegang jawatan KPE sejak 1 Dis 2022.

Maxis memaklumkan Goh mempunyai pengalaman kepimpinan di peringkat serantau dan sebelum ini berkhidmat sebagai presiden dan ketua pegawai operasi Advanced Info Service Plc di Thailand.

Ad Banner

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan perniagaan kediaman Singtel di Singapura, dengan menyelia segmen jalur lebar gentian, televisyen berbayar dan talian tetap.

“Beliau turut menerajui pengurusan kitaran hayat pelanggan serta komunikasi pemasaran bagi bahagian pengguna Singtel di Singapura,” menurut Maxis.

Sebelum menyertai Singtel pada November 2010, Goh berkhidmat sebagai ketua pegawai operasi kumpulan pengguna Astro Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pengalaman luas beliau dalam sektor perkhidmatan kewangan termasuk mengetuai pelbagai unit perbankan korporat dan pengguna di Citibank di London, Kuala Lumpur, Taipei dan Tokyo, selain menerajui pemasaran kad kredit bagi Wells Fargo Bank di San Francisco,” menurut Maxis.

Goh memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Ekonomi dan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dalam bidang Sains Komputer dari University of Pennsylvania.

Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of California, Berkeley dan menamatkan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School.

Maxis memaklumkan Goh mempunyai kepentingan langsung sebanyak 1.02 juta saham dan kepentingan dianggap dalam 3.60 juta saham lagi dalam kumpulan itu, selain 6,200 saham Maxis yang dipegang isterinya mengikut Seksyen 59(11)(c) Akta Syarikat 2016.

-- BERNAMA