Keuntungan Bersih Suku Kedua 2026 Pharmaniaga Meningkat Kepada RM12.49 Juta

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Pharmaniaga Bhd bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 meningkat kepada RM12.49 juta daripada RM3.96 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Syarikat penjagaan kesihatan tersebut menerusi makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan keuntungan bersih yang lebih tinggi itu adalah hasil daripada penjimatan faedah sebanyak RM7 juta yang direalisasikan daripada pembayaran balik sebahagian pinjaman selain pengurusan inventori yang berkesan.

Perolehan juga meningkat kepada RM1.04 bilion bagi suku tahun tersebut daripada RM926.86 juta pada suku yang sama pada Tahun Kewangan 2025, disumbang oleh jumlah pesanan yang lebih tinggi daripada hospital kerajaan di bawah Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL) dan peningkatan jualan daripada segmen swasta.

Ad Banner

Bagi tempoh separuh pertama 2026 keuntungan bersih meningkat kepada RM43.96 juta daripada RM33.54 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat kepada RM2.22 bilion daripada RM1.98 bilion.

Mengenai prospek masa depan, Pharmaniaga memaklumkan kumpulan itu terus menumpu untuk memperkukuh kecemerlangan operasi, meningkatkan portfolio produk dan menyediakan produk dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk memenuhi keperluan yang sentiasa berubah, susulan statusnya yang telah dikeluarkan daripada Nota Amalan 17 (PN17) pada 17 Mac 2026.

"Segmen biofarmaseutikal terus berkembang sebagai salah satu tonggak pertumbuhan strategik kumpulan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Sepanjang suku tersebut, Pharmaniaga memperoleh kontrak bekalan Human Insulin utama pertamanya bernilai RM281.7 juta dalam tempoh tiga tahun, menandakan satu pencapaian penting dalam pengkomersialan perniagaan biofarmaseutikalnya,” maklum syarikat itu.

Menurutnya, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan pada separuh kedua 2026.

Pada masa depan Pharmaniaga memaklumkan syarikat itu akan  kekal fokus untuk melaksanakan keutamaan strategiknya di bawah Wawasan ONE30 dengan mempercepatkan pengkomersialan portfolio biofarmaseutikal, mengukuhkan perniagaan farmaseutikal dan logistik serta mengembangkan kehadiran serantaunya.

"Disokong oleh pembangunan produk dan inisiatif operasi yang semakin berkembang, kumpulan kini berada di kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan pada masa depan sambil mewujudkan nilai yang mampan untuk para pemegang saham," maklumnya.

Pharmaniaga juga mengisytiharkan dividen interim sebanyak 48 sen sesaham, yang akan dibayar pada 13 Okt, 2026.

-- BERNAMA