Keuntungan Bersih Keyfield Susut Kepada RM23.09 Juta Pada Suku Kedua 2026
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Keyfield International Bhd bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2026 menyusut kepada RM23.09 juta berbanding RM66.36 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan bahawa pendapatan turut merosot kepada RM113.52 juta daripada RM131.97 million sebelumnya, dengan pendapatan daripada kapalnya sendiri berkurangan sebanyak RM30.6 juta (26.2 peratus) kepada RM86.1 juta manakala pendapatan daripada kapal pihak ketiga meningkat sebanyak RM12.1 juta (79.1 peratus) kepada RM27.4 juta.
Penyedia kapal luar pesisir itu berkata penurunan pendapatan bagi kapalnya sendiri kebanyakannya disebabkan oleh kadar penggunaan lebih rendah.
"Kami mencatatkan 879 hari sewaan, mewakili kadar penggunaan 69 peratus untuk kapal sendiri pada suku kedua 2026, merangkumi kapal ditempatkan secara tempatan, di Timur Tengah dan di Thailand berbanding 912 hari sewaan mewakili kadar penggunaan 74.6 peratus pada suku kedua 2025.
"Kadar penggunaan lebih rendah ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kebanyakan bot kerja penginapan (AWB) kami mula menjalankan sewaan lewat sedikit pada tahun 2026 berbanding tahun sebelumnya, seiring dengan keperluan penjadualan kapal pelanggan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, menurut Keyfield, pendapatan kapalnya sendiri mendahului penurunan kadar penggunaan memandangkan peratusan hari sewaan lebih tinggi pada suku kedua 2026 disumbangkan oleh kapal lebih kecil seperti kapal tunda dan bekalan kapal bekalan, tunda dan pengendalian sauh (AHTS) yang menjana pendapatan harian lebih rendah berbanding AWB.
Bagi separuh tahun pertama, Keyfield mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM79.22 juta daripada RM87.04 juta sebelumnya manakala pendapatan turut merosot kepada RM160.70 juta daripada RM218.72 juta sebelumnya.
Mengenai prospek, keadaan cuaca buruk di Laut China Selatan yang mula reda menjelang separuh kedua 2026, kapalnya sendiri ditempatkan di rantau itu secara progresif telah mula disewa untuk kitaran sewaan 2026, menurut Keyfield.
"Kesemua kapal kecuali satu, iaitu Keyfield Joyful yang baru kami terima pada Julai 2026 telah pun memulakan kontrak sewaan mereka. Keyfield Joyful dijangka memulakan sewaan pertama sebagai kapalnya sendiri pada suku ketiga 2026," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Keyfield menyatakan kesemua kapalnya ditempatkan di Timur Tengah telah pun memulakan sewaan mereka, daripada dua kapalnya ditempatkan di sana pada 2026, satu memulakan sewaan pada suku pertama 2026 manakala satu lagi bermula pada akhir suku kedua 2026.
"Ini adalah tambahan kepada sewaan berterusan tiga kapal (dua milik sendiri dan satu pihak ketiga) ditempatkan di sana sejak 2025. Dengan ini, kesemua lima kapal ditempatkan di Timur Tengah kini sedang disewa," menurut Keyfield.
Keyfield memaklumkan walaupun konflik Asia Barat ketika ini telah melewatkan permulaan sewaan salah sebuah kapalnya pada 2026, aliran pendapatan dari segmen geografi itu kekal kukuh dan tidak terjejas, sama ada Selat Hormuz dibuka atau ditutup.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata apabila memasuki separuh kedua suku kedua 2026, kumpulan melihat momentum yang semakin meningkat dalam perniagaan sewaan, diperkukuh oleh kontrak global dan tempatan baharu diumumkan pada Jun akan bermula sepenuhnya menjelang suku ketiga 2026.
"Hasilnya, kami menjangkakan prestasi kewangan yang lebih baik pada suku kedua 2026.
"Melangkah ke depan, kami akan meneruskan strategi pembaharuan dan penentukuran semula armada (kapal) kami, berusaha untuk mempertingkatkan armada kami dengan keupayaan lebih tinggi dan kebolehan memberi perkhidmatan kepada pelbagai pelanggan yang lebih luas.
"Ini merangkumi perolehan Keyfield Joyful dan pembinaan tiga kapal binaan baharu yang sedang berjalan merangkumi satu kapal AWB kelas kedudukan dinamik 2 (DP2) baharu dan dua kapal AHTS kelas kedudukan dinamik 2 seberat 90 tan," katanya.
Beliau berkata melalui inisiatif tersebut, kumpulan telah meletakkan kedudukan untuk menjangkakan peningkatan dalam aktiviti luar pesisir pada 2027 dan 2028.
"Selain minyak dan gas, kami sedang aktif meneroka peluang pengembangan strategik merentas industri maritim," katanya.
Keyfield turut mengisytiharkan dividen interim peringkat tunggal kedua sebanyak 1.5 sen sesaham berjumlah RM12.1 juta secara keseluruhan.
-- BERNAMA