Niaga Hadapan MSM Pulih Susulan Prospek Permintaan Minyak Sayuran India Yang Positif
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Prestasi niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) di Bursa Malaysia Derivatives tinggi pada Khamis, disokong prospek positif permintaan eksport minyak sayuran ke India.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata Persatuan Pengekstrak Pelarut India melaporkan import minyak sawit negara itu pada Julai meningkat kira-kira 50 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 730,965 tan.
Sementara itu, beliau berkata import minyak soya meningkat 31 peratus kepada 498,881 tan, manakala import minyak bunga matahari naik empat peratus kepada 251,639 tan.
“Sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh pengurangan bekalan MSM berikutan risiko El Nino,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos dan September 2026 masing-masing meningkat RM18 kepada RM4,528 dan RM4,608 satu tan, manakala Oktober 2026 menokok RM27 kepada RM4,724 satu tan.
Kontrak November 2026 meningkat RM29 kepada RM4,805 satu tan, Disember 2026 naik RM34 kepada RM4,862 satu tan, manakala Januari 2027 mengukuh RM36 kepada RM4,908 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 136,861 lot daripada 110,756 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 322,540 kontrak daripada 319,529 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi Ogos Selatan meningkat RM10 kepada RM4,530 satu tan.
-- BERNAMA