Sarawak Rancang Bangunkan Hab Perubatan Regeneratif Pertama Di Asia Tenggara
KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Sarawak menyasarkan pembangunan hab perubatan regeneratif pertama di Asia Tenggara menerusi cadangan pelaburan RM50 juta untuk membangunkan Sarawak Regenerative BioFoundry di Taman Bioindustri Sarawak.
Cadangan pembangunan itu merupakan kerjasama antara Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) dan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT), yang dimeterai menerusi pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) Ts. Hazwan Razak.”
Bioeconomy Corporation dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertukaran dokumen itu berlangsung sempena Majlis Pecah Tanah dan Pertukaran Perjanjian Taman Bioindustri Sarawak di Kota Samarahan semalam dan disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Sarawak Regenerative BioFoundry dirancang sebagai hab bersepadu pertama di Asia Tenggara yang menghubungkan rangkaian aktiviti saling melengkapi dalam bidang perubatan regeneratif, bertujuan memulihkan kesihatan dan kesejahteraan pesakit.
“BioFoundry itu akan merangkumi empat aktiviti utama iaitu Nexus Pembuatan, Nexus Klinikal, Nexus Teknologi dan Penyelidikan serta Nexus Kesejahteraan, sekali gus membentuk ekosistem bersepadu bagi menyokong pembangunan perubatan regeneratif daripada peringkat penyelidikan hingga rawatan pesakit.
“Kemudahan itu akan menyokong pembangunan produk terapi sel dan gen (CGTP), yang merupakan antara bidang pertumbuhan utama dalam perubatan regeneratif. CGTP ialah rawatan perubatan termaju yang menggunakan sel hidup atau bahan genetik, seperti terapi sel stem dan terapi sel imun, untuk merawat penyakit kompleks termasuk jenis kanser tertentu dan penyakit genetik.
“Dengan menempatkan kemudahan penyelidikan, pembuatan dan klinikal di satu lokasi, BioFoundry ini dijangka mempercepat proses membawa inovasi dari makmal kepada pesakit melalui penghasilan dan pembekalan CGTP kepada hospital serta rakan klinikal di seluruh Sarawak dan rantau yang lebih luas,” menurut kenyataan itu.
Mohd Khairul Fidzal berkata Malaysia memerlukan infrastruktur dan laluan pembangunan yang lebih kukuh bagi membolehkan hasil penyelidikan dalam bidang penjagaan kesihatan diterjemahkan kepada rawatan yang dapat memberi manfaat kepada pesakit.
“Terapi sel dan gen masih merupakan bidang yang sedang berkembang di Malaysia. Walaupun syarikat bioteknologi tempatan sedang membangunkan teknologi berpotensi tinggi, kebanyakannya masih berdepan cabaran mendapatkan pengesahan klinikal dan membawa produk ke pasaran.
“Kerjasama dengan BVT akan memberi syarikat dalam ekosistem kami, termasuk syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA), laluan yang lebih baik untuk menguji, mengesahkan dan membangunkan teknologi mereka dalam persekitaran penjagaan kesihatan sebenar.
“BioFoundry ini akan menyediakan platform berkenaan dengan beroperasi selaras dengan garis panduan dan keperluan kawal selia Kementerian Kesihatan (MOH),” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu juga akan merapatkan hubungan antara industri, penyedia penjagaan kesihatan dan kerajaan, selain menyokong pemindahan teknologi, pengkomersialan serta pelaburan dalam industri penjagaan kesihatan bernilai tinggi.
“Kami mahu melihat inovasi bio tempatan bergerak melangkaui makmal -- ke hospital, ke tangan profesional penjagaan kesihatan dan yang paling penting, kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.
Mohd Khairul Fidzal berkata Bioeconomy Corporation kini menyokong portfolio syarikat bioteknologi yang membangunkan lebih 50 produk terapi sel dan gen, yang menjadi antara rangkaian produk yang bakal disokong oleh Sarawak Regenerative BioFoundry.
Menerusi kerjasama itu, Bioeconomy Corporation dan BVT akan bersama-sama membangunkan keempat-empat komponen utama BioFoundry berkenaan.
Kedua-dua pihak turut akan memudah cara pembangunan bakat dan akses kepada insentif berkaitan, selain menyelaras kerjasama dengan agensi negeri, rakan hospital dan pihak berkepentingan lain bagi menyokong pembangunan serta operasi kemudahan tersebut.
-- BERNAMA