BERITA TERKINI   DAP menyokong pemansuhan AUKU - Loke | Keputusan kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan akan dibuat secara kolektif oleh perwakilan pada Persidangan Kebangsaan DAP hari ini - Loke | Pengurusan IPMA diarah gantung tugas kakitangan dikaitkan dengan dakwaan gangguan seksual - Asyraf Wajdi | PKR sambut baik ‘otai’ kembali ke parti - Fahmi | MCMC minta lebih 8,000 akaun palsu sentuh 3R diturunkan oleh platform media sosial sejak PRN Johor hingga semalam - Fahmi | 

Adakah Malaysia Telah Cukup Bersedia Untuk Beralih Kepada EV Bateri?

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Setahun yang lalu, semasa mengikuti program Wolfson Press Fellowship di Universiti Cambridge di United Kingdom, penulis bergelut dengan satu persoalan yang sering bermain di fikiran yang penulis sendiri sukar untuk menjawabnya. 

Adakah Malaysia telah benar-benar bersedia untuk beralih kepada kenderaan elektrik bateri (BEV)?

Ad Banner

Semasa program tajaan selama 10 minggu di bawah Program Residensi Khazanah pada 2025, kajian penulis tertumpu pada usaha Malaysia dalam industri EV, bertajuk “Malaysia’s Passenger BEV Push: Global Pressure Or Local Demand? And Why The Mainstream Media Silence?” (Usaha BEV penumpang Malaysia: Tekanan Global Atau Permintaan Tempatan? Dan Mengapa Tiada Liputan Meluas Media Arus Perdana?) 

Kajian itu menyelidik sama ada usaha Malaysia untuk melancarkan BEV penumpang benar-benar didorong oleh permintaan domestik atau tekanan global, terutamanya memandangkan negara masih menjadi pengeluar dan pengeksport minyak dan gas selain pemberian meluas subsidi bahan api yang menjadikan petrol sebagai pilihan yang lebih berpatutan dan mudah didapatkan.

Kebimbangan penulis bukanlah tentang Malaysia harus menolak BEV, tetapi sama ada ekonomi dan infrastruktur yang menyokong penggunaan EV di negara seperti Norway dan China boleh dilaksanakan di sini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, grid elektrik masih sedang dalam fasa peralihan kepada sumber yang lebih bersih, manakala pemasangan infrastruktur pengecasan BEV masih lagi tidak mencukupi di seluruh negara.

Setakat 31 Mei 2026, hanya 6,416 pengecas awam telah siap dibina, jauh lebih rendah daripada sasaran awal iaitu 10,000 pengecas awam menjelang akhir  2025.

 

Infrastruktur Pengecasan

 

Cadangan kerajaan baru-baru ini untuk mengenakan levi ke atas jualan BEV bagi membantu membiayai infrastruktur pengecasan awam merupakan satu lagi perkembangan yang boleh membentuk fasa seterusnya peralihan EV Malaysia.

Malaysia jelas sekali memerlukan lebih banyak kemudahan pengecasan awam memandangkan bilangan BEV semakin bertambah.

Baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani memetik pengalaman China sebagai contoh, dengan berkata beliau telah bertanya kepada Menteri Perdagangan China bagaimana negara itu boleh mencapai penggunaan EV yang begitu kukuh.

Beliau dimaklumkan bahawa kejayaan BEV China disokong oleh perbelanjaan besar kerajaan bagi menyediakan stesen pengecasan awam.

Pengalaman China itu menunjukkan bahawa infrastruktur pengecasan boleh memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada bakal pembeli untuk beralih kepada EV, walaupun pada dasarnya kejayaan negara itu turut disokong oleh pelbagai faktor, termasuk insentif kerajaan dan pembuatan tempatan.

Jadi persoalan sekarang berbalik kepada soalan klasik "ayam dulu ke atau telur dulu?" 

Orang ramai teragak-agak untuk membeli BEV kerana infrastruktur pengecas yang tidak mencukupi, manakala syarikat pula teragak-agak untuk membina pengecas kerana BEV yang masih belum mencukupi.

Walaupun levi yang dicadangkan boleh membantu membiayai pengembangan rangkaian pengecasan, ia juga boleh menambah kos pemilikan BEV ketika kemampuan memilikinya masih menjadi pertimbangan utama pembeli.

 

Grid Elektrik

 

Selain isu utama infrastruktur kekurangan stesen pengecasan, terdapat juga kekangan pada grid elektrik itu sendiri. 

Dalam kajian Wolfson itu penulis menggunakan Supercharger Tesla sebagai ilustrasi.

Pengecas 250 kilowatt (kW) yang beroperasi pada kapasiti penuh selama satu jam akan menggunakan 250 kilowatt jam (kWj) elektrik, bersamaan dengan penggunaan elektrik harian kira-kira 12 isi rumah Malaysia berdasarkan angka penggunaan isi rumah yang digunakan dalam kajian penulis.

Di stesen dengan empat atau lima pengecas sedemikian yang beroperasi selama lapan jam, penggunaannya secara teori boleh mencecah 8,000 hingga 10,000 kWj sehari, bersamaan dengan penggunaan harian kira-kira 370 hingga 462 isi rumah.

Walaupun sudah tentulah pengecas tidak beroperasi secara berterusan pada kapasiti maksimum namun ilustrasi tersebut mengetengahkan satu perkara penting. Peralihan kepada BEV bukan sekadar tentang kereta dan stesen pengecas semata-mata, tetapi juga melibatkan infrastruktur elektrik.

Jika Malaysia kelaknya akan mempunyai berjuta-juta BEV menjalar di jalan raya, negara memerlukan penjanaan elektrik yang mencukupi, rangkaian pengecasan yang lebih kukuh dan sumber kuasa yang semakin bersih.

Justeru penggunaan BEV tidak boleh hanya berkisar tentang "kerana ia lebih mesra alam" semata-mata. Untuk penggunaan besar-besaran, kita juga perlu ada cadangan ekonomi yang sewajarnya. 

 

Rakyat Malaysia Mahu Lebih Banyak BEV, Namun Mampukah Mereka Membayarnya?

 

Bermula 1 Julai 2026, dasar BEV Malaysia memasuki fasa baharu apabila kerajaan menamatkan pengecualian cukai untuk BEV CBU import yang berkuat kuasa sejak 2022.

Dasar baharu yang termasuk kos, nilai insurans dan pengangkutan (CIF) minimum RM200,000 dan kuasa 180kW itu bertujuan untuk menggalakkan pemasangan tempatan dan memperkukuh ekosistem automotif domestik.

Dari perspektif dasar perindustrian, langkah ini difahami kerana ia bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak pemasangan tempatan yang seterusnya dapat membantu Malaysia menarik pelaburan, membangunkan keupayaan tempatan dan mewujudkan aktiviti bernilai lebih tinggi dalam sektor automotif.

Namun dari satu segi, dasar ini boleh membawa kesan kepada harga dan ketersediaan beberapa model import kerana harga yang lebih tinggi boleh memperlahankan penjualan BEV, terutamanya dalam kalangan pengguna yang sangat berkira tentang harga.

Satu lagi persoalan ialah tentang insentif tenaga boleh baharu.

Skim Insentif Solar untuk Rakyat (SolaRIS), yang sebelum ini menawarkan rebat sehingga RM4,000 untuk pemasangan solar kediaman, telah digantikan dengan program Bantuan Rebat dan Insentif Mampan (SuRIA) di Rumah, dengan rebat baharu berkuat kuasa 1 Jun 2026 sehingga 31 Disember 2026.

Program ini menyediakan rebat sebanyak RM600 setiap kilowatt arus ulang-alik (kWac), dihadkan pada RM3,000, berdasarkan kepada siapa yang buat terlebih dahulu.

Pelarasan itu adalah sebahagian daripada proses biasa untuk memperhalusi insentif kerajaan apabila pasaran berkembang.

Bagaimanapun, tempoh program yang agak singkat juga menimbulkan persoalan tentang kepastian dasar untuk isi rumah yang membuat pelaburan jangka panjang.

Bagi seseorang yang sedang mempertimbang untuk membeli BEV, pengecas sendiri dan mungkin panel solar, ini bukanlah pembelian jangka pendek.

BEV boleh kekal di jalan raya Malaysia selama lebih satu dekad, manakala pemasangan solar juga merupakan pelaburan jangka panjang.

Oleh itu, pengguna boleh melihat melangkaui insentif yang ditawarkan pada hari ini dan mempertimbang sama ada dasar yang lebih meluas akan dapat terus menyokong pada tahun-tahun mendatang.

 

Petrol, Pilihan Lebih Murah

 

Dan cabaran utama seterusnya yang menjadi isu sensitif, harga petrol. 

Bagi rakyat Malaysia yang layak, RON95 telah ditetapkan pada RM1.99 seliter sejak 30 September 2025, turun daripada RM2.05 sebelum ini.

Dari perspektif pengguna, petrol murah menjadikan BEV kurang menarik dari segi kewangan, walaupun harga minyak yang lebih tinggi boleh meningkatkan kos subsidi bahan api kerajaan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kos subsidi bahan api bulanan Malaysia meningkat daripada sekitar RM700 juta pada Januari dan Februari kepada RM5 bilion pada Mac, sebelum mencecah RM7.5 bilion pada April apabila konflik geopolitik di Asia Barat mendorong harga minyak global menjadi lebih tinggi.

Kos itu bagaimanapun telah susut kepada sekitar RM3.5 bilion hingga RM4 bilion apabila harga minyak turun.

Ini merupakan antara isu yang dikaji penulis dalam kajian Wolfson tersebut.

Jika harga petrol terus kekal rendah pada RM1.99 seliter, keputusan untuk membeli BEV tidak lagi akan bersandarkan semata-mata kepada kos operasi, namun tidak semestinya ia bermakna Malaysia perlu memilih antara petrol berharga rendah dan penggunaan BEV.

Sebaliknya, ia menekankan kepada cabaran untuk mengimbangi kemampuan, subsidi bahan api dan peralihan kepada pengangkutan yang lebih mesra alam.

 

Bolehkah Halangan Sukar Ini Ditangani?

 

Keadaan mungkin berbeza jika model BEV pada harga lebih berpatutan memasuki pasaran Malaysia, lebih banyak kenderaan (BEV) dipasang di dalam negara dan lebih banyak kemudahan pengecasan disediakan. 

Sekurang-kurangnya itulah yang penulis harapkan.

Malaysia mempunyai peluang baik untuk menjadi sebahagian daripada trend beralih kepada BEV di samping membina industri automotifnya sendiri.

Namun bagi penulis, kejayaan peralihan kepada BEV tidak seharusnya hanya diukur daripada berapa banyak BEV yang terjual. Kejayaan juga perlu dilihat daripada sama ada rakyat biasa mampu membelinya serta keyakinan mereka untuk memilikinya tanpa perlu memikirkan kekangan yang bakal timbul. 

Barangkali inilah persoalan sebenar yang perlu dijawab oleh Malaysia.

Bolehkah kita memastikan pengangkutan yang mampu milik untuk rakyat, menangani subsidi bahan api, membina stesen pengecas yang mencukupi dan memastikan kita mempunyai cukup bekalan elektrik sambil menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada BEV?

Persoalan inilah yang timbul dibenak penulis setahun lalu, namun sehingga hari ini penulis belum menemui jawapan yang pasti.

Bagaimanapun penullis berharap apabila penulis mengimbas kembali setahun lagi dari sekarang, Malaysia akan mempunyai penyelesaian yang lebih positif untuk masalah ini.

--BERNAMA