Kerjasama KDEBWM-Caltex Perkukuh Tatakelola, Pengurusan Logistik
SHAH ALAM, 30 Sept (Bernama) -- KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil langkah strategik bagi memperkukuh tatakelola serta meningkatkan kecekapan pengurusan logistik menerusi kerjasama dengan Chevron Malaysia Limited (Caltex).
Pengarah Urusannya Datuk Ramli Mohd Tahir berkata inisiatif berkenaan melibatkan pengenalan kemudahan penggunaan Caltex StarCard yang diagihkan kepada ratusan syarikat subkontraktor dan pengendali lori di bawah seliaan syarikat pengurusan sisa pepejal tersebut.
“Melalui kaedah ini, kita (KDEBWM) dapat pastikan semua minyak berkenaan dimanfatkan oleh semua lori KDEB dengan bahan api terpilih iaitu diesel Euro 5 keluaran Caltex dengan lebih mudah menerusi penggunaan kad khas.
“Inisiatif tersebut melibatkan 452 perwakilan syarikat subkontraktor yang akan menerima kad secara serta-merta berserta kod pin keselamatan," katanya selepas majlis pelancaran yang turut dihadiri Pengerusi Caltex Malaysia Leong Jee Wong di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) di sini hari ini.
Beliau berkata, penggunaan kad fizikal itu membolehkan pihak pengurusan memantau pergerakan pengisian bahan api secara langsung bagi setiap kenderaan utiliti yang beroperasi di pelbagai daerah di Selangor.
Mengulas lanjut, Ramli menjelaskan pelaksanaan sistem baharu itu menggantikan kaedah konvensional yang sering berdepan dengan pelbagai kekangan serta risiko ketirisan dalam kalangan pengendali lapangan.
Katanya, aspek kawalan risiko dan akauntabiliti kewangan menjadi keutamaan KDEBWM dalam memastikan setiap peruntukan operasi membawa pulangan perkhidmatan yang optimum kepada rakyat.
"Sebelum ini kita gunakan duit tunai contohnya diberikan kepada pemandu, akan ada risiko disalahgunakan dan ia akan menjurus kepada kerugian. Selain itu, sistem manual menyukarkan pemantauan ketat terhadap muatan sebenar minyak yang dimasukkan ke dalam tangki jentera bagi mengelakkan ketirisan.
"Melalui penggunaan StarCard, setiap urus niaga kini dilengkapi sistem pengesanan digital yang membolehkan pihak pengurusan menyemak lokasi stesen, masa pengisian serta jumlah liter yang dicatatkan pada papan pemuka maya secara masa nyata," katanya.
Ramli memaklumkan pendekatan itu juga secara tidak langsung mengekang sebarang ruang penyelewengan bahan api daripada disalurkan ke tempat lain yang boleh merugikan syarikat.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama jangka panjang ini turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk menikmati pelbagai keistimewaan tambahan termasuk skim rebat, insentif mata ganjaran serta pengurusan perbelanjaan korporat yang lebih teratur.
Sementara itu, Leong berkata penggunaan Caltex StarCard membolehkan penetapan had pembelian serta penyediaan rekod transaksi dan penyata akaun yang lebih tersusun, tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui bagi memperkemas pengurusan bahan api serta meningkatkan akauntabiliti penggunaannya dalam operasi harian.
"Rangka kerja bersepadu Caltex StarCard membolehkan mana-mana perniagaan memantau perbelanjaan dengan mudah, menjana laporan, menyelaraskan perbelanjaan dan banyak lagi menerusi peranti mudah alih atau laman sesawang.
"Pihak syarikat boleh menikmati ketenangan hasil langkah keselamatan yang dipertingkatkan seperti pengaktifan kod pin dan pengesanan aktiviti penipuan melalui pengesanan menggunakan StarCard Online. Itu bukti komitmen kami untuk mengoptimumkan aliran kerja perniagaan dan memaksimumkan kecekapan," katanya.
-- BERNAMA