Pulau Pinang Sasar Jadi Hab Reka Bentuk Semikonduktor ASEAN Menjelang 2040
GEORGE TOWN, 16 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang bercadang beralih daripada aktiviti pemasangan dan pengujian kepada aktiviti huluan bernilai tinggi seperti reka bentuk cip, seni bina sistem, pembangunan prototaip dalam usaha menjadi hab reka bentuk semikonduktor utama di ASEAN menjelang 2040.
Menurut Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP 2040) (Kajian Semula), kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi serta pengkomersialan teknologi juga akan diperkukuh bagi meningkatkan nilai ditambah industri semikonduktor negeri.
“Antara agensi yang dikenal pasti berperanan dalam pelaksanaan agenda berkenaan ialah InvestPenang dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selain kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Penang Skill Development Centre (PSDC), Penang STEM, PERDA-TECH dan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp),” menurut draf berkenaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia Pulau Pinang).
Berdasarkan indikator yang digariskan dalam draf berkenaan, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar Negeri (KDNK) ditetapkan pada 4.7 peratus setahun menjelang 2030 dan 4.6 peratus setahun menjelang 2040, berbanding pencapaian 5.0 peratus setahun pada 2025.
Bagi sektor pembuatan pula, pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus setahun disasarkan pada 2030 dan 2040, berbanding 5.9 peratus setahun pada 2025.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan sebagai vendor teknologi berkeupayaan tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor melalui peningkatan teknologi, automasi, pensijilan piawaian industri dan pematuhan global.
“Pewujudan mekanisme integrasi rantaian bekalan antara syarikat multinasional dan PMKS tempatan adalah untuk meningkatkan kandungan tempatan, pemindahan teknologi dan rantaian nilai di peringkat ekonomi negeri,” demikian menurut RNSPP 2040 yang kini dibuka untuk publisiti dan penyertaan awam hingga 9 Sept 2026.
Selain semikonduktor, Pulau Pinang turut menyasarkan transformasi industri peranti perubatan ke arah inovasi melalui pengukuhan kluster peranti perubatan sedia ada dengan menggalakkan pengeluaran produk berteknologi tinggi, automasi lanjutan dan integrasi kejuruteraan dalam rantaian nilai industri
Menurut RSNPP 2040, keupayaan pensijilan serta kelulusan pasaran turut diberi perhatian bagi meningkatkan akses eksport, daya saing global dan nilai ditambah industri peranti perubatan negeri.
Dalam usaha mempelbagaikan ekonomi, kerajaan negeri juga bercadang memperluas sektor perkhidmatan bernilai tinggi dan ekonomi digital dengan pembangunan Central Business District (CBD) yang menempatkan aktiviti seperti teknologi maklumat (IT), data dan analitik, kecerdasan buatan (AI), kewangan, kejuruteraan digital serta Global Business Services (GBS) yang menyokong operasi serantau dan global.
Draf berkenaan juga memaklumkan perkhidmatan logistik pintar, fasilitasi perdagangan dan perkhidmatan sokongan industri turut akan diperkukuh bagi meningkatkan kecekapan eksport serta daya tahan rantaian bekalan negeri.
Draf RSNPP 2040 (Kajian Semula) yang disediakan bagi menggantikan RSNPP 2030 yang hampir tamat tempoh itu merupakan dokumen perancangan strategik negeri yang menggariskan hala tuju pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar secara menyeluruh bagi tempoh perancangan sehingga 2040.
RSNPP 2030 telah mencapai kadar pelaksanaan yang tinggi, iaitu sebanyak 99.3 peratus, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan yang telah dirangka.
-- BERNAMA