TH Disaran Guna Pakai Amalan Pengurusan Risiko Lima Lapisan - Pakar Ekonomi
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Pengurusan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu mengguna pakai sekurang-kurangnya lima lapisan kawalan selepas ini bagi memperkukuh pengurusan risiko institusi berkenaan termasuk melaksanakan penilaian wajar pelaburan, kata seorang pakar ekonomi.
Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata selain lapisan kawalan penilaian wajar yang lebih ketat sebelum membuat sesuatu pelaburan, TH juga perlu menetapkan had pendedahan mengikut aset, sektor, negara dan pihak urus niaga serta memastikan pengurusan risiko bebas mempunyai kuasa mencabar keputusan pelaburan.
Selain itu, katanya, TH juga perlu mempunyai sistem amaran awal apabila prestasi pelaburan merosot serta disiplin dan strategi menamatkan usaha niaga apabila asas ekonomi sesuatu pelaburan mula terjejas.
"Lima lapisan kawalan ini merupakan amalan standard dalam disiplin pengurusan aset profesional. Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang mengamalkan lima lapisan kawalan pelaburan ini," katanya kepada Bernama.
Mengambil iktibar daripada kelemahan pengurusan pelaburan TH sebelum ini Barjoyai berkata ia akan menjadi pengajaran penting bagi memperkuat pengurusan risiko institusi berkenaan.
“Masalahnya bukan semata-mata TH mengalami kerugian dalam pelaburan, kerana kerugian adalah sebahagian daripada risiko pelaburan. Persoalan yang lebih penting ialah mengapa sistem pengurusan risiko membenarkan sebahagian pelaburan kehilangan sehingga 100 peratus nilai,” katanya.
Menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan kepada umum baru-baru ini TH dilaporkan mencatatkan kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.
Pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (AL-Rawda) bernilai 1.4 bilion riyal Saudi atau bersamaan kira-kira RM1.5 bilion merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan berkenaan.
Kerugian hampir RM13 bilion itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.
Barjoyai menegaskan TH juga perlu membezakan dengan jelas antara keputusan pelaburan dan pengawasan risiko pelaburan.
“Mereka yang membuat keputusan pelaburan tidak sepatutnya menjadi pihak yang menentukan sendiri sama ada keputusan itu masih selamat,” katanya.
Senada dengan Barjoyai, ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penempatan golongan profesional yang mempunyai integriti tinggi dalam kepimpinan TH amat penting.
Beliau berkata ini kerana keputusan pelaburan memerlukan pertimbangan kompleks serta pengetahuan dan pengalaman yang luas untuk membuat sebarang bentuk usaha wajar.
“Ini termasuklah pentadbiran di peringkat lembaga pengarah, panel pelaburan dan kakitangan pengurusan. Hal ini telahpun diperbaiki yang mana tiada lagi ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada ahli politik yang aktif,” katanya.
Pemisahan Kuasa Menteri Agama dan Menteri Kewangan
Mengulas syor pemisahan kuasa antara Menteri Agama dan Menteri Kewangan oleh RCI, Barjoyai bersetuju dengan prinsip tersebut dan menyatakan langkah itu perlu bagi mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh.
Beliau berkata TH mempunyai ciri unik kerana institusi itu bukan sekadar sebuah syarikat pelaburan atau agensi kerajaan, sebaliknya menguruskan wang orang awam yang mempunyai tujuan khusus, iaitu simpanan untuk menunaikan haji.
“Oleh itu, kita perlu mengelakkan keadaan yang mana seseorang atau sesebuah institusi mempunyai pengaruh terlalu besar terhadap keseluruhan rantaian dasar, pelantikan, pelaburan, pengawasan dan keputusan kewangan,” katanya.
Barjoyai berpendapat Menteri Agama boleh memberi tumpuan kepada kepentingan pendeposit dan mandat haji, manakala Kementerian Kewangan memainkan peranan dari perspektif fiskal dan kewangan negara.
“Namun, yang lebih penting daripada menteri ialah lembaga, tadbir urus pelaburan profesional, jawatankuasa risiko dan pengawasan audit yang bebas,” katanya.
Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata cadangan pemisahan kuasa berkenaan wajar kerana pembahagian tanggungjawab yang jelas dapat melicinkan pentadbiran TH.
“Di peringkat operasi juga tidak kurang dari segi kompleksitinya kerana ia melibatkan hubungan TH dengan kerajaan Arab Saudi bagi memperoleh kuota serta pengangkutan dan penginapan para jemaah di Mekah dan Madinah.
“Kementerian Kewangan pula mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang pelaburan. Maka gabungan ini akan menjadikan pentadbiran TH lebih mantap,” katanya.
Lantik Golongan Profesional Tadbir TH, Tiada Kaitan Politik
Mengenai cadangan larangan ahli politik aktif menyertai Lembaga Pengarah TH, Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Azmi Hassan berkata kerajaan perlu menunjukkan bahawa pengurusan TH kini bebas daripada tekanan politik bagi memulihkan keyakinan pendeposit.
Beliau berkata sensitiviti politik terhadap TH tidak dapat dinafikan, termasuk penggunaan hibah dan subsidi sebagai kepentingan politik, namun pengurusan institusi itu perlu kekal profesional.
“Tak dapat dinafikan, orang politik menggunakan TH untuk kepentingan politik, umpamanya memberi hibah yang tinggi ataupun subsidi yang tinggi dan itu tak dapat dielakkan,” katanya.
Mengambil iktibar daripada pengalaman lepas apabila ahli politik aktif dilantik menerajui institusi berkenaan, Azmi berkata kerajaan juga perlu selepas ini melantik golongan profesional yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik dalam pengurusan tertinggi TH bagi mengelakkan tekanan politik.
“Bagi organisasi sepenting TH, memerlukan lantikan bukan politik ataupun lantikan profesional yang tiada kaitan politik. Kalau orang itu profesional tetapi punya kaitan politik, kita akan menghadapi masalah yang sama dalam hal ini,” katanya.
Kerajaan pada 29 Julai lepas mendedahkan laporan RCI TH setebal 211 halaman kepada umum yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan yang termasuk larangan ahli politik aktif menyertai Lembaga Pengarah TH, pemecahan kuasa antara Menteri Agama dan Menteri Kewangan dan penubuhan badan bebas untuk pelantikan Lembaga.
Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, dengan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.
Dewan Rakyat turut mengadakan sidang khas pada 11 Ogos lepas bagi membahaskan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
-- BERNAMA