BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

HLIB Jangka OEM Tempatan Berupaya Kekalkan Momentum Jualan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan pengeluar peralatan tulen (OEM) tempatan berupaya mengekalkan momentum jualan mereka pada separuh kedua 2026.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu menjangkakan OEM bukan tempatan akan terus berdepan tekanan berikutan persaingan harga yang semakin sengit dan produk yang ditawarkan pula semakin baik.

“Kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor automotif, disokong oleh prestasi kukuh OEM tempatan iaitu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Proton Holdings Bhd.

Ad Banner

“Kami menjangkakan Perodua dapat mengekalkan jumlah jualan pada 2026 berikutan kedudukan kukuhnya dalam pasaran terutamanya dalam pasaran mampu milik dan di peringkat permulaan," tambahnya.

Proton juga menyaksikan pertumbuhan jualan yang kukuh, dipacu oleh permintaan yang besar untuk model Saga yang baru dilancarkan dan model kenderaan elektrik (EV)/kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) mampu milik, menurutnya.

Semalam, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat lima peratus tahun ke tahun kepada 73,615 unit pada Julai 2026 daripada 70,057 unit pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan dalam jumlah pengeluaran bulanan dan jualan.

Ad Banner

Menurut HLIB, TIV bagi tujuh bulan pertama 2026 kekal berdaya tahan pada 459,000 unit, iaitu tumbuh 2.7 peratus tahun ke tahun.

OEM utama yang merekodkan pertumbuhan kukuh tahun ke tahun termasuk Proton, Jetour dan Mazda.

Bagi jualan EV pula, ia mencecah 6,900 unit pada Julai, menyumbang 9.4 peratus daripada TIV yang sebahagian besarnya dikuasai oleh model Proton dan BYD.

Sehubungan itu, HLIB menaikkan unjuran TIV kepada 800,000 unit daripada 780,000 unit, dipacu oleh prestasi kukuh OEM.

Pilihan utama HLIB ialah MBM Resources Bhd dengan harga sasaran (TP) RM7.10 dan SIME dengan TP RM2.85, memandangkan pendedahan kukuh syarikat itu terhadap jumlah jualan model Perodua yang berterusan.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan jualan Ogos 2026 kekal kukuh dengan jangkaan rangsangan daripada Perodua apabila ia mengurangkan harga model Axia sehingga RM4,700. Ia mengekalkan pendirian neutral terhadap sektor berkenaan.

Menurut Kenanga, unjuran TIV 2026 sebanyak 800,000 unit selaras dengan unjuran MAA, didorong oleh trend pemberian diskaun/rebat, penangguhan dalam melaksanakan peraturan nilai pasaran terbuka (OMV) baharu, lambakan kenderaan tempatan dari China dan tawaran yang berbaloi.

“TIV dari awal tahun hingga kini sebanyak 459,000 unit adalah menepati jangkaan,” tambahnya.

Pilihan utama Kenanga ialah Bermaz Auto Bhd dan SIME, dengan harga sasaran masing-masing pada RM1.22 dan RM2.75.

-- BERNAMA