BERITA TERKINI   Pelan komprehensif tambah baik kawalan di pintu masuk negara diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera - Fahmi | Cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST: PM maklumkan kepada kabinet MOF perlu lakukan kajian penuh, Menteri Kewangan II diberi masa sediakan laporan – Fahmi | 

CGS International Jangka IHP Malaysia 2026 Kekal Rendah Pada 1.9 Peratus

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) menjangkakan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia kekal agak rendah bagi baki tahun 2026, sekali gus mengekalkan ramalannya pada 1.9 peratus tahun ke tahun. 

Dalam satu nota hari ini, firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa tinjauan keseluruhan mendapati wujudnya tekanan harga, memandangkan perbezaan antara harga pengeluar yang tinggi dan inflasi pengguna yang sederhana, menunjukkan bahawa kesan sampingan kos yang besar masih belum berlaku.  

“Mengenai risiko kenaikan, kami berpendapat bahawa sekiranya perniagaan mula mengalami tekanan kos dengan lebih agresif, inflasi keseluruhan boleh menjadi lebih tinggi daripada yang dijangkakan ketika ini, manakala langkah rasionalisasi subsidi dan potensi turun naik dalam pasaran komoditi serta tenaga global kekal sebagai sumber risiko kenaikan. 

Ad Banner

“Mengenai risiko penurunan pula, pengukuhan ringgit, langkah kos sara hidup berterusan oleh kerajaan, termasuk subsidi bahan api bersasar, pemindahan tunai dan usaha penstabilan harga makanan, berkemungkinan akan terus mengurangkan perbelanjaan isi rumah serta membendung inflasi jangka pendek,” katanya. 

CGS MY turut menjangkakan inflasi pengangkutan akan kekal agak terkawal dalam jangka masa terdekat, tidak termasuk sebarang lonjakan ketara dalam harga tenaga global. 

“Pada pandangan kami, pelaksanaan program BUDI Diesel pada 26 Julai turut menyumbang kepada sebahagian kenaikan yang lebih perlahan dengan mengurangkan perbelanjaan berkaitan bahan api bagi pemilik kenderaan diesel yang layak. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sementara harga tenaga global kekal terdedah kepada perkembangan geopolitik dan gangguan bekalan, data pengangkutan terkini menunjukkan bahawa setakat ini, kesan tekanan kos luaran kepada pengguna kekal terhad,” menurut CGS MY.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada Isnin (17 Ogos) mengumumkan bahawa inflasi Malaysia susut kepada 1.8 peratus pada Julai 2026 daripada 1.9 peratus pada Jun, dengan IHP meningkat kepada 137.1 mata pada Julai berbanding 134.7mata pada tahun sebelumnya. 

-- BERNAMA