BERITA TERKINI   Jerebu: Semua sekolah di daerah Kuching, Padawan, Serian dan Samarahan di Sarawak ditutup serta-merta hari ini dan esok - JPNS | Malaysia tolak pelaburan Pelabuhan Klang dalam gudang, aktiviti transit tanpa manfaat pekerjaan dan ekonomi - PM Anwar | Kerajaan terbuka untuk menambah baik SST, guna pakai beberapa komponen GST tetapi menolak cukai terhadap rakyat termiskin secara menyeluruh - PM Anwar | Kerajaan akan teliti pemohon pelaburan baharu untuk memastikan manfaat ekonomi dan pekerjaan - PM Anwar | Jualan Ehsan Rahmah dalam talian akan diadakan pada 9 Sept sempena sambutan Hari Malaysia 2026 - PM Anwar | 

MyCEB Perhebat Usaha Tarik Acara Perniagaan Indonesia Ke Malaysia

JAKARTA, 20 Ogos (Bernama) -- Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) mempergiat usaha untuk menarik lebih banyak acara perniagaan dari Indonesia ke Malaysia menerusi Indonesia Roadshow 2026 di Surabaya dan Jakarta, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Tan Mei Phing berkata Indonesia kekal sebagai antara pasaran acara perniagaan terpenting Malaysia, dan pengukuhan hubungan dengan rakan industri di negara itu menjadi keutamaan MyCEB.

“Kami mengukuhkan komitmen untuk membina kerjasama yang lebih kukuh menerusi jelajah ini, di samping mewujudkan peluang perniagaan baharu dan mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan bertaraf dunia.

Ad Banner

“Selain infrastruktur dan venue yang bertaraf tinggi, kami menawarkan sokongan menyeluruh kepada penganjur, pengalaman yang pelbagai serta hospitaliti Malaysia yang sememangnya terkenal, menjadikan setiap acara benar-benar bermakna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MyCEB merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Mengulas lanjut, agensi itu berkata siri jelajah yang diadakan di Jakarta pada Khamis dan Surabaya pada Selasa lepas itu menghimpunkan 20 rakan industri Malaysia yang berkaitan bagi mengeratkan kerjasama serta menjana peluang perniagaan pada masa depan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Rakan industri yang terlibat merangkumi agensi pelancongan, perancang mesyuarat korporat, syarikat pelancongan insentif dan pemain utama industri acara perniagaan Indonesia.

Program berkenaan merangkumi pertemuan perniagaan ke perniagaan (B2B), sesi jaringan dan pembentangan destinasi, sekali gus memberi peluang kepada peserta pameran Malaysia memperkenalkan venue, kepelbagaian pengalaman destinasi, kesalinghubungan serta perkhidmatan sokongan negara bagi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran.

Siri jelajah itu turut menjadi platform untuk mengeratkan semula hubungan dengan rakan industri sedia ada, selain membina hubungan baharu bagi menyokong pertumbuhan perniagaan yang mampan.

MyCEB berkata Indonesia terus menawarkan potensi pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh kedudukan geografi yang berdekatan, kesalinghubungan udara yang baik, hubungan perniagaan yang telah lama terjalin serta hubungan budaya yang erat.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan pasaran antarabangsa MyCEB yang berterusan untuk menarik lebih banyak mesyuarat, perjalanan insentif, persidangan dan pameran ke Malaysia,” katanya.

Agensi itu berkata acara perniagaan kekal sebagai segmen pelancongan bernilai tinggi yang memberikan impak ekonomi ketara menerusi peningkatan perbelanjaan pelawat dan tempoh penginapan yang lebih panjang.

Ia turut memberi manfaat lebih luas kepada industri hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, makanan dan minuman serta pelancongan.

-- BERNAMA