DPMM Kedah, Trang Laksana Program B2B Perkukuh Ekonomi Rentas Sempadan
ALOR SETAR, 24 Ogos (Bernama) -- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah serta Dewan Perniagaan dan Industri Trang, Thailand melaksanakan program padanan dan rangkaian perniagaan (B2B) bagi memperkukuh ekonomi rentas sempadan khususnya dalam sektor pelancongan dan industri halal.
Penasihat DPMM Kedah Zuhaizar Abdul Karim berkata inisiatif itu mampu menyelesaikan masalah bersama berikutan kedudukan kedua-duanya strategik dan boleh menjadi laluan transit yang berupaya meraih impak limpahan ekonomi pelancongan yang optimum.
“Pelancong Malaysia yang menuju ke Phuket dan Krabi kebiasaannya akan melintasi Trang tanpa singgah. Situasi ini berlaku disebabkan wujudnya kebimbangan serta salah faham mengenai tiada lokasi menarik serta kesukaran mendapatkan makanan halal di wilayah berkenaan.
“Senario sama juga berlaku di Kedah apabila pelancong dari Thailand atau warga asing yang ingin memperbaharui visa kebanyakannya hanya melintasi Kedah untuk menuju ke destinasi lain seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Gabenor Wilayah Trang, Pol Capt Anan Boon-Samran bersama kira-kira 22 delegasi lain yang terdiri daripada usahawan Trang dalam pelbagai sektor dan industri.
Zuhaizar berkata isu yang dihadapi Kedah dan Trang itu menyebabkan kedua-dua pihak tidak mendapat manfaat limpahan ekonomi yang sepatutnya.
“Sehubungan itu, DPMM menjemput delegasi dari Trang datang ke Kedah kerana melalui perkongsian ilmu dan padanan perniagaan secara B2B ini, ia memudahkan perbincangan serta kerjasama untuk dibuat. Mereka juga menjemput DPMM Kedah untuk mengadakan lawatan balas ke Trang dalam masa terdekat.
“Saya juga mahu melihat ahli DPMM Kedah mengeksport produk dan perkhidmatan ke luar negara dan lokasi yang terdekat ialah Thailand. Kita boleh jadikan Trang sebagai platform untuk memperluas lagi peluang perniagaan terutamanya dalam industri makanan halal,” katanya.
Sementara itu, Anan Boon memaklumkan rombongan delegasi ke Kedah merupakan satu daripada usaha pihaknya untuk memperkenalkan wilayah Trang kepada pelancong Kedah serta dari negeri dan negara lain.
“Trang menyediakan destinasi pelancongan yang lebih murah berbanding wilayah-wilayah lain yang sering menjadi tumpuan pelancong.
"Kita juga mempunyai makanan halal serta industri halal yang lain serta kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya yang dilihat boleh menjadi antara daya penarik untuk pelancong datang ke Trang,” katanya.
-- BERNAMA