BERITA TERKINI   Industri seni tidak terurus satu tragedi, tekan kehidupan seniman - PM Anwar | Seni dan budaya bukan alat propaganda picisan dan murahan - PM Anwar | Acuan Timur perlu kekalkan akhlak, bukan neokonservatif - PM Anwar | Negara yang ingin maju harus terima kenyataan generasi muda mahu suasana yang lebih bebas, terbuka - PM Anwar | 

Untung Bersih Guan Chong Lonjak 424.9 Peratus Kepada RM253.02 Juta

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Guan Chong Bhd melonjak 424.9 peratus kepada RM253.02 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 daripada RM48.20 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar produk koko itu memaklumkan prestasi lebih baik berkenaan didorong terutamanya pengurusan pembelian bahan mentah dan kedudukan jualan ramuan koko yang berkesan, sekali gus meningkatkan margin dan keuntungan.

“Selain itu, paras pinjaman yang lebih rendah pada suku berkenaan turut menyumbang kepada pengurangan kos kewangan,” menurutnya.

Ad Banner

Bagaimanapun, hasil bagi suku berkenaan susut kepada RM1.80 bilion daripada RM3.88 bilion sebelumnya berikutan harga jualan produk koko yang lebih rendah, sejajar dengan penurunan harga biji koko.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, Guan Chong mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM376.59 juta berbanding RM142.80 juta pada tempoh sama tahun lepas, manakala hasil menurun kepada RM4.42 bilion daripada RM8.19 bilion sebelumnya.

Mengenai prospek, kumpulan menjangkakan permintaan coklat pulih secara beransur-ansur pada separuh kedua 2026, khususnya pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, apabila inflasi koko yang semakin reda dan harga yang lebih sederhana meningkatkan kemampuan pengguna serta menggalakkan mereka kembali membeli atau meningkatkan pembelian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Trend premiumisasi dalam industri coklat juga dijangka berterusan, sekali gus mengukuhkan aspirasi pertumbuhan jangka panjang dalam segmen premium.

“Dalam jangka panjang, prospek permintaan struktur kekal positif, disokong peralihan berterusan ke arah penggunaan coklat sebenar apabila pengeluar beralih daripada bahan ramuan pengganti,” menurutnya.

Guan Chong memaklumkan kumpulan terus memantau perkembangan pasaran dan melaksanakan langkah proaktif bagi memastikan bekalan biji koko yang konsisten dan boleh dipercayai, sekali gus menjamin kesinambungan operasi dan daya tahan perniagaan, selain mengurus modal kerja dengan teliti bagi mengekalkan kecairan yang mencukupi.

“Kumpulan kekal komited terhadap perniagaan teras pemprosesan ramuan koko, selain mengembangkan secara strategik segmen coklat industri serta mengoptimumkan pengeluaran sejajar dengan perubahan keadaan pasaran,” menurutnya.

-- BERNAMA