Malaysia Fokus Bidang Khusus Utama Dalam Persaingan Infrastruktur Digital Asia - Ahli Ekonomi
Oleh Nor Baizura Basri
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia sedang memfokuskan bidang khusus utama dalam persaingan infrastruktur digital Asia yang menggabungkan kapasiti kuasa, ketersambungan, kepantasan pelaksanaan, pengukuhan perindustrian dan modal amat besar, kata seorang ahli ekonomi.
Ketua ahli ekonomi global Juwai IQI, Shan Saeed, berkata ledakan pusat data Malaysia tidak lagi kelihatan seperti limpahan dari Singapura malah lebih kepada strategi ekonomi yang berbeza.
Beliau berkata angka pelaburan semakin penting dari segi makroekonomi dan Malaysia sudahpun mempunyai asas digital yang besar.
"Malaysia juga mendapat manfaat daripada pengagihan semula modal global ke arah pelaburan pusat data dan pengkomputeran awan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama, di sini, hari ini.
Antara tempoh 2021 hingga pertengahan 2025 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan pusat data dan pengkomputeran awan berjumlah RM144.4 bilion.
Pada suku pertama 2026 sahaja, pelaburan pusat data dan pengkomputeran awan menyumbang RM34.6 bilion merentasi 33 projek, bersamaan dengan 88.9 peratus daripada kelulusan pelaburan maklumat dan komunikasi.
Shan berkata cabaran dasar adalah untuk menukar pelaburan infrastruktur kepada nilai tambah domestik dan pertumbuhan produktiviti kerana pusat data memerlukan modal dan kuasa yang intensif memandangkan keuntungan mereka bergantung pada faktor-faktor ini.
Ini, katanya, termasuk mengurangkan halangan terhadap penggunaan awan dan kecerdasan buatan (AI), keupayaan keselamatan siber dan kejuruteraan yang lebih kukuh, rangkaian semikonduktor, penyejukan canggih, pelaburan tenaga boleh baharu, perolehan tempatan dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Di sinilah ekosistem semikonduktor Malaysia memberikan kelebihan tambahan.
"Infrastruktur digital boleh mewujudkan jambatan antara pangkalan pembuatan elektronik negara yang mantap dan ekonomi AI yang baru muncul, membolehkan pengukuhan modal untuk menjana penyebaran teknologi yang lebih luas merentasi pembuatan dan perkhidmatan," kata Shan.
Beliau berkata Asia Tenggara kini mewakili kira-kira separuh daripada kapasiti pusat data Asia Pasifik yang sedang dibina, dengan Malaysia mendahului rantau ini dengan 1,039 megawatt (MW) yang sedang dibina, mengatasi Thailand pada 859 MW.
Johor sahaja mencatatkan kapasiti operasi sebanyak 1,110 MW, dengan 602 MW dalam pembinaan dan 3,088 MW dalam perancangan pada separuh pertama 2026, yang mengatasi kapasiti 2,084 MW di Bangkok dan 1,699 MW di Jakarta.
Shan berkata daya tahan grid, bekalan tenaga boleh baharu, kecekapan air dan pelaksanaan kawal selia akan menjadi sebahagian daripada cadangan pelaburan oleh Malaysia.
Namun begitu, beliau berkata risikonya ialah kapasiti berkembang lebih cepat daripada pemerolehan nilai domestik.
Oleh itu, Malaysia perlu memastikan infrastruktur digital dapat menarik masuk dan bukannya menolak keluar pelaburan produktif.
"Jika keseimbangan itu dicapai kitaran pusat data dapat mengukuhkan stok modal produktif, mempercepat penyebaran teknologi, meningkatkan produktiviti faktor keseluruhan dan memperkukuh potensi kadar pertumbuhan Malaysia.
"Malaysia bukan sekadar membina pusat data. Negara juga sedang membina infrastruktur pengkomputeran dan berpotensi menjadi kerangka produktiviti untuk kitaran pertumbuhan ASEAN yang seterusnya," kata Shan.
Menurut Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) pelaburan greenfield global dalam pusat data melebihi US$270 bilion pada 2025, menyumbang lebih satu perlima daripada nilai pelaburan greenfield global, dengan Malaysia berada antara 10 destinasi teratas global bagi projek pusat data.
Sementara itu, McKinsey & Co, firma perunding pengurusan global, mengunjurkan bahawa pusat data mungkin memerlukan kira-kira US$6.7 trilion pelaburan global kumulatif menjelang 2030, dengan beban kerja AI menyumbang sekitar 70 peratus daripada permintaan kapasiti menjelang akhir dekad ini.
-- BERNAMA