BERITA TERKINI   Bekas menteri M.Saravanan mengesahkan beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen KL esok | Keuntungan bersih IHH Healthcare meningkat kepada RM573 juta pada suku kedua Tahun Kewangan 2026 daripada RM443 juta pada tempoh yang sama tahun lepas | Kerajaan akan terus buka ruang, bina ekosistem dan perluas akses kepada usahawan Bumiputera - Ahmad Zahid | Usahawan Bumiputera perlu bina pemilikan, memperbesar skala dan mencipta penguasaan - TPM Zahid | Kerajaan MADANI tidak pernah keluarkan lesen, permit perjudian dan tambah premis judi baharu sejak ambil alih pentadbiran Persekutuan - MOF | 

Pertumbuhan Tuntutan Perubatan Dua Digit Dijangka Berterusan Dalam Tempoh Terdekat

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Pertumbuhan tuntutan perubatan pada kadar dua digit dijangka berterusan dalam tempoh terdekat susulan inflasi tuntutan perubatan meningkat 12.28 peratus pada 2025, didorong terutamanya peningkatan bilangan individu yang dilindungi insurans mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Menurut kenyataan bersama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), jumlah tuntutan perubatan yang dibayar meningkat 10.7 peratus kepada RM13.5 bilion pada 2025 berbanding RM12.2 bilion pada 2024.

Menerusi data dalam Laporan Inflasi Tuntutan Perubatan Malaysia 2025 menunjukkan daripada kadar inflasi tuntutan perubatan berkenaan, sebanyak 11.22 mata peratusan berpunca daripada peningkatan jumlah tuntutan, manakala bakinya disebabkan kos rawatan yang lebih tinggi.

Ad Banner

Laporan itu menyatakan peningkatan keseluruhan kos rawatan sebahagiannya diimbangi oleh tuntutan di hospital awam yang menyumbang sembilan peratus daripada keseluruhan tuntutan, dengan kos tuntutan susut 14 peratus berbanding tahun sebelumnya

Bagaimanapun, kos hospital swasta meningkat 5.89 peratus, manakala kos tuntutan bagi rawatan harian di fasiliti swasta meningkat 2.3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O'Dell berkata dapatan itu selaras dengan analisis Bank Dunia mengenai sektor Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Malaysia yang mengenal pasti penggunaan perkhidmatan kesihatan dan intensiti perkhidmatan sebagai antara faktor utama peningkatan kos tuntutan perubatan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata isu berkenaan perlu ditangani menerusi kerjasama rentas sektor yang menyeluruh antara pembuat dasar, penyedia perkhidmatan kesihatan, syarikat insurans, pengendali takaful dan pengguna bagi memastikan perlindungan perubatan kekal mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata purata inflasi tuntutan perubatan tahunan berada pada 13.63 peratus antara 2023 dan 2025, berbanding kira-kira lapan peratus bagi tempoh 2013 hingga 2018, sekali gus menekankan kepentingan memastikan kemampanan dana peserta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIAM Chua Kim Soon berkata pertumbuhan tuntutan perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak berkepentingan bagi memastikan amalan yang telus dan penyediaan penjagaan kesihatan yang cekap, selain menangani trend penggunaan perkhidmatan kesihatan dan mengekalkan kemampanan perlindungan perubatan.

Menurut kenyataan itu, beberapa faktor dijangka membantu meredakan pertumbuhan tuntutan dari semasa ke semasa.

Ini termasuk langkah pembendungan kos yang diteruskan, tindakan lebih tegas terhadap penipuan, pembaziran dan penyalahgunaan, peningkatan ketelusan kos, penggunaan pengebilan berasaskan Kumpulan Berkaitan Diagnosis (Diagnosis Related Group - DRG) serta pengenalan pelan MediAsas.

Industri insurans dan takaful kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan yang mampu milik, telus, cekap dan mampan, di samping memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada perlindungan perubatan berkualiti, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA