SIRIM QAS Perkukuh Inisiatif Pengurusan Karbon Sarawak
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat SIRIM Bhd, SIRIM QAS International Sdn Bhd bersedia untuk memainkan peranan dalam menyokong usaha Sarawak ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Syarikat itu telah didaftarkan sebagai Firma Juruaudit Luar Bertauliah dengan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.
Menurut SIRIM dalam kenyataan hari ini, pendaftaran itu membolehkan SIRIM QAS International mengesahkan Laporan Pelepasan Karbon di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau), 2023 (Bab 85) untuk dikemukakan kepada Pengawal Kualiti Alam Sekitar.
Pencapaian penting itu mengukuhkan lagi keupayaan SIRIM QAS International dalam kemampanan dan pengurusan karbon, membolehkan syarikat itu menyokong perniagaan dan industri di Sarawak dalam membuat penyesuaian kepada rangka kerja kawal selia baharu itu.
SIRIM memaklumkan pengesahan pelepasan gas rumah hijau merupakan keperluan asas di bawah Ordinan tersebut.
“Pendaftaran ini membolehkan SIRIM QAS International menyediakan jaminan bebas yang diperlukan untuk pelaporan yang berwibawa.
“Dengan kepakaran teknikal dan rekod prestasi yang kukuh dalam perkhidmatan pensijilan, SIRIM QAS International berada pada kedudukan yang baik untuk membantu organisasi memenuhi tanggungjawab kawal selia dan kelestarian mereka,” katanya.
Menurut SIRIM, pendaftaran itu juga sejajar dengan status Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia memperkenalkan undang-undang perubahan iklim yang khusus ke arah sasarannya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Sebagai badan pengesah bertauliah, katanya SIRIM QAS International dapat menyumbang secara langsung kepada usaha tersebut dengan memastikan pelepasan gas rumah hijau diukur dengan tepat dan dilaporkan secara telus.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Nik Sazali Nik Hussin berkata SIRIM berharap dapat membantu pelanggannya dengan menunjukkan kemajuan mereka dalam pengurusan gas rumah hijau.
“Kami melihat ini sebagai peluang yang bermakna untuk menyumbang kepada perjalanan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh SIRIM QAS International boleh melayari laman web rasminya, https://www.sirim-qas.com.my/service/iso-14064-greenhouse-gases/.
-- BERNAMA