Bursa Malaysia Bercampur-Campur Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini, dengan kaunter utiliti, telekomunikasi dan media, serta produk dan perkhidmatan perindustrian terus memberikan sokongan kepada bursa tempatan.
Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut 6.14 mata kepada 1,742.40 daripada 1,748.54 ketika ditutup pada Rabu.
Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 531 berbanding 480 manakala 527 kaunter tidak berubah, 1,335 tidak diniagakan dan 124 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 2.02 bilion unit bernilai RM1.52 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan memaklumkan bahawa keputusan kukuh dan prospek yang menggalakkan dijangka memberikan limpahan positif kepada saham teknologi tempatan.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 12 sen kepada RM10.60, Public Bank merosot 11 sen kepada RM5.04, CIMB Group berkurangan lima sen kepada RM8.03, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.30, manakala IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM8.25.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI menguncup dua sen kepada 64 sen, Eco-Shop Marketing turun satu sen kepada RM1.45. Supermax menambah empat sen kepada 35 sen, NationGate naik lapan sen kepada RM1.78, bagaimanapun JAKS Resources susut setengah sen kepada 12 sen.
Antara saham paling untung, Malaysian Pacific Industries dan SAM Engineering & Equipment, naik 26 sen masing-masing kepada RM42.94 dan RM4.46, manakala Vitrox Corporation menokok 23 sen kepada RM9.35, Unisem melonjak 19 sen kepada RM4.46, dan Petronas Dagangan menambah 18 sen kepada RM20.70.
Dalam kalangan saham paling rugi, Nestle susut 40 sen kepada RM103.60, United Plantations merosot 26 sen kepada RM31.26, Dutch Lady Milk Industries berkurangan 20 sen kepada RM31.48, Kumpulan Fima turun 14 sen kepada RM2.71, dan Genting Plantations menguncup 12 sen kepada RM5.83.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 naik 56.59 mata kepada 18,284.81, Indeks FBM Emas Syariah menambah 34.09 mata kepada 12,701.04, Indeks FBM Emas susut 17.31 mata kepada 12,898.55, Indeks FBMT 100 turun 23.58 mata kepada 12,706.66 dan Indeks FBM ACE berkurangan 17.52 mata kepada 5,335.43.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 5.48 mata kepada 780.62, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.00 mata kepada 189.00, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 159.45 mata kepada 20,296.30, dan Indeks Perladangan merosot 72.42 mata kepada 9,352.13.
-- BERNAMA