Pemindahan Teknologi Pengecasan EV Mesti Sesuai Dengan Keperluan Tempatan - LINCHR
Oleh Ng Che Yean
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Penyelesaian pengecasan pintar dari China untuk kenderaan elektrik (EV) baharu semakin mendapat tempat di Malaysia memandangkan pasaran EV Malaysia dijangka berkembang pesat dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Pengerusi Xi'an LINCHR New Energy Technology Co Ltd (LINCHR) Yuan Qingmin berkata EV dan infrastruktur pengecasan saling berkait rapat, di mana kelewatan pada satu aspek berkemungkinan mengekang pertumbuhan aspek yang lain.
“China merupakan antara pengguna terawal EV dan membangunkan infrastruktur pengecasan. Bagaimanapun, pemindahan teknologi bukan sekadar meniru pengalaman China, sebaliknya menyesuaikannya dengan keadaan Malaysia melalui penyetempatan serta penyelidikan dan pembangunan,” katanya.
LINCHR mengambil bahagian dalam Ekspo Automotif dan Teknologi Global 2026 (GATE 2026) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 26 hingga 28 Ogos ini.
Syarikat itu turut bekerjasama dengan pengeluar pengecas EV tempatan, Swift Bridge Technologies Sdn Bhd, untuk membangunkan infrastruktur pengecasan di Malaysia.
Kerjasama berkenaan merangkumi piawaian infrastruktur pengecasan, produk, teknologi dan reka bentuk kejuruteraan.
Bercakap kepada Bernama, Yuan berkata GATE 2026 memberi peluang kepada LINCHR untuk berinteraksi dengan agensi-agensi kerajaan, syarikat tenaga, pengendali dan pemain industri yang terlibat dalam sektor infrastruktur pengecasan di Malaysia.
Beliau berkata penyelesaian teknologi ujian LINCHR menguasai lebih 70 peratus bahagian pasaran China, sambil menambah pengembangan ke luar negara memerlukan pemindahan teknologi kepada rakan kongsi tempatan serta rakan kongsi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.
Meniru teknologi China tanpa menyesuaikannya dengan keadaan tempatan mungkin boleh memenuhi keperluan asas, tetapi tidak semestinya sesuai untuk pasaran Malaysia, tambah beliau.
Sebagai contoh, beliau berkata LINCHR menggunakan reka bentuk penebat rendaman minyak untuk papan litar bercetak (PCB) di stesen pengecasannya bagi meningkatkan ketahanan terhadap kakisan semburan garam dalam iklim Malaysia yang panas dan lembap.
Mengenai piawaian dan pengujian, Yuan berkata LINCHR, Swift Bridge dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah menandatangani perjanjian kerjasama tiga pihak pada Mac tahun lalu.
“Sejak itu, kami telah bekerjasama dalam pengujian infrastruktur pengecasan dan piawaian pensijilan, serta menaik taraf makmal pengujian peralatan,” katanya.
Pada masa hadapan, beliau berkata teknologi pengecasan perlu terus berkembang seiring dengan EV yang semakin terhubung dan pintar.
EV pada akhirnya boleh dicas di rumah, di tempat kerja atau semasa tidak aktif, dengan lebihan elektrik disalurkan kembali ke dalam grid.
Keadaan ini boleh menukar EV daripada pengguna elektrik kepada sumber 'tenaga mudah alih' yang berinteraksi dengan grid, tambahnya.
-- BERNAMA