Usaha Sama LSH Infra-Pertama Makmur Raih Projek Lebuhraya Bertingkat BSE
Oleh Nurul Hanis Izmir
PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Usaha sama LSH Infra Sdn Bhd dan Pertama Makmur Sdn Bhd Joint Venture telah dianugerahkan cadangan pembangunan Projek Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia-Seri Kembangan (BSE) bagi mengukuhkan aspek kesalinghubungan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Greater Kuala Lumpur.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata barisan Jemaah Menteri secara prinsipnya telah menyatakan persetujuan terhadap cadangan pembangunan BSE berkenaan.
Ini juga sekali gus memaparkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan infrastruktur berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara secara mampan, katanya.
Beliau berkata BSE yang merupakan projek infrastruktur strategik berpotensi memperkukuh rangkaian pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan di kawasan Greater Kuala Lumpur, dicadangkan sebagai laluan penghubung berkapasiti tinggi yang mengintegrasikan beberapa rangkaian lebuh raya utama.
“Ini termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta rangkaian Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT),” katanya kepada Bernama hari ini.
Nanta berkata pembangunan di sepanjang jajaran strategik itu juga berpotensi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna selain turut melancarkan pergerakan antara koridor utara, selatan dan pantai timur Semenanjung Malaysia.
Projek itu akan dilaksanakan usaha sama LSH Infra dan Pertama Makmur dengan kedua-dua syarikat juga dapat saling bertukar pengalaman dalam projek berkaitan pembinaan dan infrastruktur.
LSH Infra adalah anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd, sebuah syarikat pegangan pelaburan yang terlibat terutamanya menerusi anak-anak syarikatnya dalam pembinaan dan perkhidmatan selain penyelesaian berkaitan pembinaan, bahan binaan, produk dan perkhidmatan pencahayaan serta mekanikal dan elektrikal, penyewaan jentera, pembangunan hartanah dan pengurusan fasiliti.
Lim Seong Hai Capital ditubuhkan di Malaysia pada 11 November 2020 di bawah Akta Syarikat 2016 dan disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 30 Julai 2021 sebelum ke Pasaran ACE pada 21 Mac 2025.
Perniagaan berkaitan pembinaannya disokong oleh penglibatan anak syarikat dalam perniagaan bahan binaan, pembinaan dan perkhidmatan berkaitan, perkakasan dan peralatan, penyewaan jentera, pembangunan, pelaburan hartanah serta pegangan pelaburan.
Pertama Makmur pula sebuah syarikat milik bumiputera yang ditubuhkan pada 1986, berstatus kontraktor G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan berdaftar sebagai kontraktor dengan Kementerian Kewangan (MOF), Tenaga Nasional Bhd (TNB), FGV Holdings Bhd dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Syarikat itu juga telah menyempurnakan lebih daripada 50 projek setakat ini dengan nilai kontrak melebihi RM1.4 bilion.
Antara projek utama yang disiapkan Pertama Makmur adalah Projek Tebatan Sungai Kerayong di bawah program “River of Life,” pembinaan sebuah persimpangan bertingkat di persimpangan Jalan Pudu-Jalan Imbi-Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur, menaik taraf Jalan Semarak dari Jalan Tun Razak ke Lebuhraya DUKE (Duta-Ulu Kelang), pembinaan rangkaian saluran pembetungan di Melaka serta Pakej CB4 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
Pertama Makmur pada masa ini mengendalikan lima projek yang secara keseluruhannya bernilai kira-kira RM500 juta.
Projek utama itu termasuk Pakej 4C Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang sebelum ini dikenali sebagai Central Spine Road (CSR), Projek Tebatan Banjir Sungai Pendang serta usaha pelebaran Jalan Yew dan Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur.
Semalam, Nanta dilaporkan sebagai berkata aspek kesalinghubungan BSE yang lebih baik akan dapat meningkatkan mobiliti rakyat, memperkukuh kecekapan logistik dan melancarkan pergerakan barangan manakala dari sudut kesejahteraan rakyat selain berpotensi mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan akses kepada pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan perkhidmatan awam.
Beliau berkata selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pembangunan BSE bukan sekadar pembinaan sebuah lebuh raya baharu tetapi juga pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh kesalinghubungan, keterangkuman pembangunan dan daya saing ekonomi negara.
Pada masa sama, Nanta menekankan seleas dengan aspirasi Malaysia MADANI, BSE bukan sekadar pembinaan sebuah lebuh raya baharu tetapi juga pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh kesalinghubungan, keterangkuman pembangunan dan daya saing ekonomi negara.
Susulan dengan kelulusan secara prinsip itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama dengan agensi berkaitan termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), akan meneruskan rundingan dan penilaian terperinci bagi memuktamadkan struktur pelaksanaan projek.
Kerajaan akan memastikan setiap aspek projek dinilai secara menyeluruh, khususnya dari segi kepentingan awam, nilai terbaik kepada negara dan kemampanan fiskal, sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaannya dibuat.
Cadangan pembangunan BSE akan turut berpandukan pendekatan pembiayaan sektor swasta, sekali gus memastikan pelaksanaannya tidak melibatkan komitmen kewangan langsung daripada Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, Nanta berkata kerajaan akan turut meneliti beberapa cadangan penyelesaian infrastruktur lain secara terpilih bagi melengkapkan rangkaian jalan raya serta menangani isu kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Perkara itu akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan strategik, peningkatan kapasiti serta impak terhadap kelancaran trafik di Lembah Klang.
Cadangan berkenaan akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan strategik, peningkatan kapasiti serta impaknya terhadap aliran trafik.
“KKR akan terus memastikan proses seterusnya dilaksanakan secara teliti, telus dan mengikut kepentingan rakyat dan negara yang sejajar dengan komitmen kerajaan membangunkan sistem pengangkutan lebih cekap, bersepadu dan mampan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta menambah baik kualiti kehidupan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA