Harlina Samson Dilantik Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengumumkan pelantikan Harlina Samson sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, berkuat kuasa 1 Sept, 2026.
Pelantikan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang turut dihadiri Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak.
Harlina, 58, dinaikkan pangkat ke jawatan berkenaan selepas memangku jawatan tersebut sejak 1 Feb 2026 susulan persaraan wajib Azlina Aziz pada 12 Jan, 2026.
Beliau menyertai Bernama pada 16 Dis, 1991 dan pernah memegang jawatan sebagai Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita, Ketua Biro Bernama Sarawak serta Ketua Dasar dan Perancangan Strategik.
Harlina memiliki Diploma Komunikasi Massa (Kewartawanan) yang setara dengan ijazah daripada Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) dan Sarjana Sains Komunikasi Korporat daripada Universiti Putra Malaysia.
-- BERNAMA