Kerajaan Belum Tetap Lokasi Living Lab Ekonomi Altitud Rendah Di Sabah -- MITI
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan belum menetapkan mana-mana lokasi di Sabah sebagai “living laboratory” Ekonomi Altitud Rendah pada masa ini kerana penilaian menyeluruh masih perlu dilaksanakan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata setiap negeri boleh dipertimbangkan berdasarkan keperluan, kelebihan serta tahap kesediaan masing-masing, dengan Sabah antara negeri yang mempunyai asas yang kukuh untuk dipertimbangkan.
Menurut kementerian itu, antara kes penggunaan yang berpotensi dilaksanakan di Sabah termasuk perkhidmatan logistik dron ke kawasan pedalaman, khususnya untuk penghantaran bekalan, ubat-ubatan dan sampel perubatan, selain pertanian pintar, pemeriksaan infrastruktur kritikal, pengurusan bencana serta operasi mencari dan menyelamat.
Kerajaan melalui Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO) sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Altitud Rendah yang dirangka untuk membangunkan tahap kesediaan, ekosistem dan pelaksanaan berfasa Ekonomi Altitud Rendah negara sehingga 2040, termasuk pembangunan model ekosistem dan pelaksanaan serta penetapan lokasi bagi “living laboratory”.
"Secara keseluruhannya, kerajaan bersedia mempertimbangkan semua negeri termasuk Sabah sebagai lokasi pembangunan Ekonomi Altitud Rendah dengan penetapan daerah sebagai “living laboratory” atau “regulatory sandbox”.
"Pada masa yang sama, Kerajaan turut meneliti bentuk sokongan dan insentif yang bersesuaian bagi menggalakkan penglibatan syarikat tempatan dan pemain teknologi dalam pelaksanaan projek rintis," kata kementerian itu.
MITI berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) mengenai kesediaan kementerian menetapkan sekurang-kurangnya satu daerah pedalaman Sabah sebagai “living laboratory” Ekonomi Altitud Rendah dalam RMK13, termasuk menyediakan insentif kepada syarikat tempatan dan pemain teknologi bagi menjalankan projek rintis.
Dalam perkembangan lain, MITI berkata kerajaan komited membangunkan ekosistem unsur nadir bumi (REE) yang holistik dan bersepadu untuk memaksimumkan nilai ekonomi sumber mineral tempatan, termasuk memperkasakan segmen pertengahan dan hiliran seperti pembuatan magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik serta bateri.
Berhubung perjanjian antara Lynas Rare Earths Ltd. dengan Kerajaan Amerika Syarikat, MITI berkata pihak syarikat telah memaklumkan bahawa perjanjian berkenaan adalah urusan komersial yang diuruskan secara langsung oleh subsidiarinya, Lynas LLC USA, bagi memudah cara pemuktamadan perjanjian bekalan bahan untuk industri pembuatan moden.
"Lynas turut memaklumkan bahawa bekalan oksida nadir bumi itu adalah untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor perindustrian pembuatan magnet kekal," kata kementerian itu.
Secara teknikalnya, adalah sukar untuk menentukan hala tuju produk siap atau penggunaan akhir REE terutama sekali atas faktor kegunaan produk ini yang pelbagai dan merentasi segenap industri.
"Tambahan lagi rantaian bekalan adalah bersifat ‘fragmented’, produk sering bertukar tangan di antara pembuat dan pembekal serta perbezaan di antara pembeli dan pengguna akhir produk
"Secara kesimpulannya, sumber REE negara jika dibangunkan secara bersepadu dan sistematik sudah pasti memberi ruang dan peluang positif kepada Malaysia untuk terus maju berlandaskan kepada aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," kata kementerian itu.
MITI berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai pendirian kerajaan terhadap perjanjian pembekalan nadir bumi selama empat tahun antara Lynas dan Pentagon serta implikasinya terhadap kepentingan strategik negara.
-- BERNAMA