Transformasi AI Malaysia Wajar Utamakan Pendidikan, Penjagaan Kesihatan
Oleh Abdul Hamid A Rahman
GUIYANG, China, 28 Ogos (Bernama) -- Usaha Malaysia mempergiat penerapan kecerdasan buatan (AI) perlu berteraskan pemerkasaan manusia dan pemeliharaan maruah insan, khususnya dalam sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan, kata Senator Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Yaakub.
Beliau yang juga pengasas Neuro Ethical Global Consulting dan MindGuard Ethical Intelligence Sdn Bhd berkata pengalaman China menunjukkan pembangunan AI dan data raya boleh diperkasa menerusi kerjasama erat antara kerajaan, industri, universiti dan masyarakat.
“Dua keutamaan pertama ialah pendidikan dan kesihatan,” katanya kepada Bernama ketika menghadiri Ekspo Industri Data Raya Antarabangsa China di sini.
Beliau berkata pelaburan kerajaan China serta kerjasama dengan industri wajar dijadikan contoh yang boleh dipertimbangkan Malaysia.
Kerjasama sedemikian berpotensi memberi manfaat kepada generasi muda Malaysia sepanjang sistem pendidikan, daripada pendidikan awal kanak-kanak hingga peringkat universiti, katanya.
Noor Inayah berkata perkembangan teknologi yang pesat turut menimbulkan persoalan mengenai usaha memastikan maruah manusia terus dilindungi apabila keupayaan AI semakin berkembang.
“Perkara ini turut mendorong kajian saya mengenai persilangan antara teknologi, undang-undang dan etika,” katanya, sambil menegaskan manusia perlu kekal menjadi teras pembangunan teknologi.
Noor Inayah yang berpengalaman selama 30 tahun dalam pendidikan tinggi dan dalam profesion undang-undang berkata perkembangan teknologi yang pesat turut menimbulkan persoalan mengenai usaha memastikan maruah manusia terus dilindungi apabila keupayaan AI semakin berkembang.
“Kita sebagai manusia perlu mengatasi keupayaan robot," kata beliau.
Menjawab soalan Kerajaan Perbandaran Guiyang mengenai prospek kerjasama jangka panjang susulan kemajuan perkhidmatan digital dan infrastruktur Internet China, beliau berkata kekuatan teknologi negara itu membuka ruang luas untuk kerjasama berterusan, khususnya berdasarkan hubungan dua hala Malaysia-China yang erat.
“China juga mempunyai pemahaman terhadap budaya ASEAN, menjadikan teknologinya berpotensi lebih relevan dan mudah disesuaikan dengan rantau ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kemajuan teknologi tidak seharusnya mengorbankan budaya dan sejarah, berdasarkan pengalamannya mengunjungi perkampungan etnik Miao di Guizhou yang masih mengekalkan warisan budaya di sebalik transformasi teknologi pesat China.
“Kita tidak boleh mengabaikan sejarah,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Alpha University College Prof Dr Nurliza Haslin Muslim berkata institusi pengajian tinggi perlu melihat AI sebagai alat untuk memperkasa manusia, bukannya menggantikan mereka.
Terdapat kebimbangan mengenai penyalahgunaan AI untuk plagiarisme, namun, teknologi itu juga boleh membantu pelajar menulis tesis, esei dan tugasan, termasuk mengatasi kebuntuan idea serta meningkatkan kecekapan.
“AI boleh menjadi alat yang membantu pelajar mengatasi kebuntuan idea dan menjadikan mereka lebih baik. Justeru, tugasan dapat dilakukan dengan lebih pantas dan cekap,” katanya.
Nurliza berkata Alpha University College kini menawarkan kursus berkaitan teknologi maklumat, AI dan keselamatan siber, selaras aspirasi Malaysia untuk memperkasa AI dan data raya.
Malaysia juga boleh menganjurkan platform seumpama ekspo itu bagi menghimpunkan pengamal industri, universiti, kerajaan dan pemain teknologi untuk memperkukuh agenda AI dan data raya negara, katanya.
Mengenai kerjasama Malaysia-China, beliau berkata Alpha University College telah memeterai memorandum persefahaman dengan beberapa universiti China dalam bidang penyelidikan, pertukaran pelajar dan program penganugerahan dua ijazah.
“Kami juga dijangka mengunjungi antara enam dan lapan universiti selepas ekspo ini bagi meneroka lebih banyak peluang kerjasama di Guiyang,” katanya.
Nurliza berkata perkhidmatan digital canggih China telah memperkukuh hujah untuk kerjasama jangka panjang yang lebih mendalam antara universiti dan syarikat Malaysia dan China.
“Perkembangan Guiyang sebagai hab data raya juga menawarkan pengajaran berguna untuk Malaysia kerana ia berusaha untuk menjadi lebih agresif dalam memajukan agenda AI dan data rayanya sendiri,” katanya.
-- BERNAMA