AIREI Lancar Kilang Minyak Sawit Pintar Berasaskan AI Kedua
IPOH, 28 Ogos (Bernama) -- Syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) AIREI Sdn Bhd melancarkan kilang minyak sawit pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) kedua, kali ini dengan kapasiti lebih besar iaitu 60 tan sejam berbanding 45 tan sejam untuk kilang pertamanya.
Dalam kenyataan hari ini, AIREI memaklumkan pelancaran yang diadakan di Perak Motor Co (PMC Oil Mill) di Teluk Intan menyaksikan sistem AI proprietari milik AIREI digunakan bersama kerjasama baharu dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Kerjasama itu menandakan perubahan daripada inovasi oleh syarikat kepada perbincangan yang lebih meluas di peringkat nasional mengenai peranan AI dalam industri minyak sawit.
Pengarah Urusan Bahagian Kilang Minyak Sawit AIREI Perak Motor Steven Yow Thin Chin berkata tidak lebih dua tahun selepas melancarkan kilang sawit pintar berasaskan AI pertama di dunia, AIREI yang kembali dengan pelaksanaan berskala lebih besar dan sokongan agensi digital negara menunjukkan teknologi itu sedang beralih daripada bukti konsep kepada amalan standard di peringkat operasi kilang.
"Pada akhirnya, sesebuah kilang diukur berdasarkan kadar perahan minyak (OER) dan sistem ini telah memberikan perbezaan yang nyata serta boleh diukur dalam aspek itu, dengan OER meningkat antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus.
“Peningkatan itu dapat dicapai dengan bantuan AI, yang mengurangkan kesilapan manusia dan sebahagian besar keputusan yang sebelum ini dibuat berdasarkan anggaran atau andaian ketika kami merancang operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil dalam kenyataan sama berkata minyak sawit sebagai komoditi strategik negara berpotensi meraih manfaat besar daripada penerimagunaan teknologi digital dan AI yang lebih meluas.
Beliau berkata penggunaan sistem kilang minyak sawit pintar berasaskan AI oleh AIREI di Perak Motor Co. menunjukkan bagaimana AI boleh meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan sumber dan memberikan hasil pengeluaran yang lebih baik.
"Seiring dengan Malaysia Digital 2030 (MD2030), MDEC berhasrat membolehkan lebih banyak inovasi tempatan dibangunkan, diguna pakai dan diperluas dalam industri utama selain mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta memajukan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030," katanya.
Menurut AIREI, berdasarkan hasil yang dicapai, sistem berasaskan AI itu telah menghasilkan peningkatan yang boleh diukur di kilang itu termasuk mengurangkan kehilangan minyak.
Kehilangan minyak daripada mesokarpa secara asas basah (OLWB) di stesen pemerah telah berkurangan sebanyak 13 peratus manakala OER meningkat antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus.
Selain itu, sistem berkenaan turut mengoptimumkan tenaga kerja memandangkan AI telah mengurangkan kebergantungan kepada operator asing sebanyak 20 peratus dalam tempoh bulan pertama pelaksanaan dan pengurangan itu dijangka mencapai 40 peratus.
AI juga membantu menyeragamkan operasi dengan memastikan parameter operasi yang dipersetujui serta prosedur operasi standard (SOP) yang dipatuhi secara konsisten, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pertimbangan seseorang operator.
Akhir sekali, sistem ini meningkatkan pemantauan pihak pengurusan berikutan sistem kawalan AI berpusat memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pihak pengurusan mengenai prestasi kilang, sekali gus membolehkan isu operasi dikenal pasti dan ditangani dengan lebih pantas.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AIREI Surendran Kuranadan dalam kenyataan sama berkata semasa syarikat itu mula melaksanakan sistem berkenaan, matlamatnya adalah untuk membuktikan bahawa AI boleh berfungsi dalam persekitaran operasi kilang minyak sawit.
"Kilang pintar berasaskan AI AIREI mengenal pasti anomali pengeluaran, menganalisis punca asasnya, membetulkannya dan membuat keputusan yang tepat bagi memastikan proses kekal dalam parameter pengilangan, sekali gus mengurangkan kehilangan minyak kepada tahap terendah yang pernah dicatatkan kilang ini.
"Kami membuktikan bahawa teknologi ini boleh diperluas dan Malaysia boleh meneraju peralihan ini di rantau ini. Hakikat bahawa pasaran minyak sawit di seluruh dunia sudah mula memberikan perhatian menunjukkan bahawa kami berada di landasan yang betul," katanya.
Menurut AIREI, minat terhadap pendekatan syarikat itu kini berkembang melangkaui sempadan Malaysia, dengan negara jiran ASEAN seperti Indonesia dan Thailand yang juga pengeluar utama minyak sawit, mengikuti perkembangan itu dengan rapat.
Pengeluar dari Amerika Latin termasuk Mexico dan Colombia turut memberi perhatian terhadap perkembangan itu, terutama ketika penanaman sawit di rantau itu berkembang pesat.
Menurut AIREI, beberapa pihak di pasaran itu telah mula meneroka penggunaan model berasaskan AI yang sama, didorong oleh peningkatan kecekapan yang ditawarkan serta pulangan pelaburan yang boleh dicapai oleh kilang dalam tempoh antara 18 hingga 20 bulan manakala kos pelaksanaan bergantung kepada kapasiti kilang.
"Kedudukan Malaysia di barisan hadapan perubahan ini memberikan negara peluang yang jarang berlaku untuk mengeksport bukan sahaja minyak sawit malah teknologi dan kepakaran bagi menghasilkan produk itu dengan lebih cekap," menurut kenyataan itu.
Pelancaran berkenaan turut dihadiri wakil MDEC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), rakan industri dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sekali gus mencerminkan aspirasi yang melangkaui operasi kilang berikutan perbincangan pada acara itu turut menyentuh mengenai potensi kerjasama serta peluang latihan industri di kilang pintar yang dipacu AI.
Pada masa ini, AIREI membuka peluang kepada pengusaha kilang minyak sawit dan kumpulan perladangan di seluruh Malaysia serta luar negara yang berhasrat melihat potensi angka dan hasil yang boleh dicapai di kilang masing-masing.
Pihak yang berminat boleh menghubungi AIREI atau melayari laman sesawang www.airei.global untuk memulakan perbincangan.
AIREI ialah syarikat multinasional yang berpangkalan di Malaysia dan India yang mengkhusus dalam pembangunan penyelesaian termaju menggunakan analitik data raya, AI, kebolehkesanan rantaian bekalan serta teknologi blockchain Hyperledger Fabric.
AIREI memberi tumpuan kepada penyelesaian inovatif dalam industri minyak sawit melalui platform perisian yang selamat dan mempunyai kepakaran dalam pembangunan robotik yang disesuaikan mengikut keperluan.
-- BERNAMA