Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Aktiviti Jualan Menjelang Cuti Panjang
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Jumaat dengan lebih rendah, diasak oleh aktiviti jualan secara meluas menjelang tempoh cuti hujung minggu yang panjang.
Isnin depan merupakan cuti umum bersempena Hari Kebangsaan 2026.
Pada 5 petang ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 15.84 mata kepada 1,725.88 berbanding paras penutup 1,741.72, sebelum ini.
Indeks penunjuk utama itu dibuka menokok 1.98 mata kepada 1,743.70 dan bergerak dalam julat 1,715.91 hingga 1,745.06 sepanjang dagangan hari ini.
Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 917 berbanding 405 manakala 461 kaunter lain tidak berubah, 1,070 tidak diniagakan dan 98 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan melonjak kepada 5.06 bilion unit bernilai RM6.51 bilion kepada 3.85 bilion unit bernilai RM3.46 bilion, semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, berkata sentimen kekal berwaspada susulan jualan hari ini dengan kaunter rugi mengatasi untung pada purata melebihi dua berbanding satu.
Bagaimanapun, katanya, penyertaan pasaran kekal memberangsangkan yang menyaksikan jumlah dagangan berjumlah kira-kira lima 5 bilion saham bernilai RM6.5 bilion.
“Nilai dagangan yang secara relatifnya agak tinggi berbanding jumlah dagangan menunjukkan aktiviti ketara dalam saham berharga lebih tinggi dan bermodal besar. Jumlah dagangan kukuh walaupun sentimen pasaran kurang memberangsangkan pula menunjukkan pelabur aktif mengambil peluang membeli saham pada paras lebih rendah.
“Susulan penilaian lebih menarik berikutan penyusutan pasaran baru-baru ini, kami percaya pembelian terpilih pada harga rendah boleh memberi sokongan apabila dagangan kembali disambung pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM10.68, IHH Healthcare naik 10 sen kepada RM8.25, Public Bank turun lima sen kepada RM4.95, CIMB Group turun 11 sen kepada RM7.96 dan Tenaga Nasional merosot 16 sen kepada RM14.14.
Saham paling aktif menyaksikan Zetrix AI turun 30 sen kepada 29.5 sen, Tanco turun dua sen kepada 18.5 sen, JAKS Resources mendatar pada 12.5 sen, Inari Amertron meningkat enam sen kepada RM2.56 manakala Oppstar rugi 4.5 sen kepada 77 sen.
Selain itu, kaunter paling untung didahului oleh United Plantations yang melonjak 66 sen kepada RM31.94, Spritzer naik 33 sen kepada RM3.55, MBM Resources meningkat 26 sen kepada RM5.30, Mega Fortris menambah 19 sen kepada RM2.30 dan APM Automotive meraih 17 sen kepada RM3.
Sebaliknya, kaunter paling rugi didahului Nestle yang susut RM2.90 kepada RM100.10, Malaysian Pacific Industries merosot RM1.26 kepada RM41.56, MISC menguncup 56 sen kepada RM7.92 manakala LPI Capital dan Fraser & Neave masing-masing merosot 42 sen kepada RM13.48 dan RM25.48.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 merosot 228.27 mata kepada 18,084.89, Indeks FBM Emas Syariah turun 144.83 mata kepada 12,552.09 dan Indeks FBM Emas berkurangan 127.48 mata kepada 12,764.63.
Indeks FBM Top 100 menguncup 126.41 mata kepada 12,574.85 manakala Indeks FBM ACE merosot 102.84 mata kepada 5,249.38.
Bagi sektor, Indeks Perladangan berkurangan sebanyak 33.55 mata kepada 9,309.66 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan kehilangan 129.81 mata kepada 20,243.47, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun banyak 0.11 mata kepada 189.27, manakala Indeks Tenaga merosot 6.68 mata kepada 778.38.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.39 bilion unit bernilai RM6.11 bilion berbanding 2.13 bilion unit bernilai RM3.11 bilion, semalam.
Waran pula berkurangan kepada 991.46 juta unit bernilai RM152.07 juta berbanding 1.20 bilion unit bernilai RM156.70 juta, sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 681.03 juta unit bernilai RM245.54 juta daripada 516.25 juta unit bernilai RM198.44 juta, semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 345.38 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (419.16 juta), pembinaan (219.04 juta), teknologi (1.43 bilion), perkhidmatan kewangan (238.55 juta), hartanah (252.78 juta), perladangan (67.26 juta), amanah pelaburan hartanah (18.68 juta), dana tertutup (20,500), tenaga (101.20 juta), penjagaan kesihatan (88.53 juta), telekomunikasi dan media (58.10 juta), pengangkutan dan logistik (45.59 juta), utiliti (102.85 juta), dan amanah perniagaan (78,300).
-- BERNAMA