BERITA TERKINI   36 rakyat Malaysia yang berada di Tibet dilaporkan selamat susulan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan bersempadan Nepal-China - KLN | Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 pada 30 Ogos ini di PICC, Putrajaya ditetapkan pada 2 petang - Kementerian Perpaduan Negara | Dua daripada 57 rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal telah berjaya dikesan - KLN | Kerugian bersih Berjaya Corporation berkurangan kepada RM340.36 juta pada Tahun Kewangan 2026 daripada RM541.97 juta pada 2025 | Keuntungan bersih RHB Bank meningkat kepada RM807.15 juta pada suku kedua Tahun Kewangan 2026 daripada RM803.50 juta pada tempoh yang sama tahun lepas | 

Pembangunan Urban Forest Bernilai RM1 Bilion Pacu Pertumbuhan Ekonomi Perak

IPOH, 28 Ogos (Bernama) -- Pembangunan Urban Forest bernilai kira-kira lebih RM1 bilion di Tambun di sini, dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Perak apabila projek seluas 84 ekar itu siap dalam masa tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata usaha Team Keris Bhd (TKB) dengan kerjasama RJJ Hotels Sdn Bhd dan Persatuan Restoran Cina Malaysia (MCRA) itu juga dijangka dapat memperkukuh ekosistem pelancongan, hospitaliti, makanan dan minuman (F&B), peruncitan serta komersial di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pembangunan itu akan turut melengkapkan ekosistem sedia ada di Tambun, termasuk kawasan tumpuan Lost World of Tambun dan pembangunan komersial serta hospitaliti lain, sekali gus berpotensi menjadikannya sebagai hab pelancongan.

Ad Banner

“Menerusi pembangunan Urban Forest ini, kami menjangkakan ini turut mengundang perkhidmatan hotel bertaraf antarabangsa. Berikutan itu, kedai-kedai makanan terkenal di Perak dan juga di Ipoh akan ada di situ.

“Ini bakal menjadikan Ipoh dan Perak secara amnya akan disenaraikan dalam pasaran pelancongan antarabangsa...Perak ataupun Ipoh tidak lagi menjadi pusat pelancongan domestik tetapi ke arah pelancongan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) dengan RJJ Hotels serta Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MCRA di Ibu Pejabat TKB Bhd di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif TKB Group Datuk Lee Seng Hee berkata Urban Forest akan mengetengahkan konsep F&B yang merangkumi 40 peratus pengendali bernaung di bawah MCRA dan 60 peratus pengusaha tempatan selain menjadi sebahagian usaha menampilkan kepelbagaian sajian makanan Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

Beliau berkata pembangunan itu turut memastikan 30 peratus daripada keseluruhan tawaran F&B adalah mesra Muslim dengan MCRA sedang menyediakan pilihan makanan berkenaan, termasuk dim sum halal bagi memenuhi keperluan pelbagai golongan pengunjung.

“Kami percaya Perak berhak mendapat yang terbaik, bukan sekadar lebih banyak pembangunan, tetapi idea, pengalaman lebih bermakna. Menerusi pembangunan Urban Forest ini, kami berhasrat untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

“Makanan mampu menarik orang merentasi bandar dan sempadan; layanan hospitaliti pula menentukan perasaan mereka apabila tiba di satu-satu tempat. Pemikiran itu turut diterapkan melalui TKB Tours & Hospitality yang baru ditubuhkan iaitu kami melihat keseluruhan pengalaman perjalanan pengunjung, daripada penginapan dan sajian makanan kepada pengangkutan, penerokaan serta pengalaman di luar daripada hutan bandar,” katanya.

Beliau berkata komponen F&B itu juga menjadi pelengkap tawaran hospitaliti oleh RJJ yang dijangka menarik kehadiran pelancong antarabangsa ke Ipoh melalui rangkaian globalnya yang luas, selain memberi peluang kepada pengusaha makanan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada pelancong dari pasaran seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif RJJ Hotels Yap Lip Seng berkata kerjasama syarikat dengan Jin Jiang Hotels yang mempunyai lebih 200 juta ahli di lebih 50 negara dan 40 jenama hotel, akan memberi kelebihan kepada Urban Forest dari segi platform global untuk mempromosikan Ipoh sebagai destinasi makanan dan hospitaliti.

“Kami bekerjasama dengan ejen pelancongan, menyediakan pakej perjalanan serta tawaran istimewa untuk membawa pengunjung ke Ipoh dan Perak tanpa mereka perlu bimbangkan aspek perjalanan untuk ke sini. 

“Mereka datang dan menginap bukan sekadar untuk satu atau dua malam, tetapi turut menikmati pengalaman yang merangkumi semua hidangan serta pelbagai pilihan makanan di Urban Forest,” katanya.

Presiden MCRA Gao Houyun berkata kerjasama itu tidak hanya menarik jenama antarabangsa, tetapi turut memberikan pembangunan latihan dan kemahiran untuk kalangan pengendali dan pekerja selain membantu industri makanan dan hospitaliti Perak memenuhi tahap antarabangsa.

Beliau berkata persatuan itu juga merancang untuk menyokong pembangunan rantaian bekalan tempatan, termasuk menggalakkan pengeluar sos, rempah ratus dan ramuan makanan membuka kilang masing-masing di Perak.

Pada masa sama, beliau menyifatkan pensijilan halal Malaysia akan memberi kelebihan strategik yang membolehkan jenama restoran dibangunkan di Perak serta dapat berkembang ke serata Malaysia dan pasaran Asia Tenggara secara meluas.

-- BERNAMA