SMR 20 Catat Paras Tertinggi 2026 Didorong Kebimbangan Bekalan Akibat El Nino
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah meneruskan momentum peningkatan pada Jumaat, dengan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 mencapai paras tertinggi bagi 2026, disokong jangkaan bekalan yang lebih ketat susulan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino.
Peniaga berkata fenomena El Nino terus menimbulkan kebimbangan terhadap ketersediaan bekalan, sekali gus menyokong harga getah.
Beliau berkata sentimen turut mendapat sokongan daripada jangkaan inflasi Amerika Syarikat yang semakin reda.
“Prospek inflasi Amerika Syarikat yang bercampur-campur memberikan sedikit sokongan apabila Rizab Persekutuan memberi isyarat bahawa bacaan inflasi terkini tidak semestinya memerlukan kadar faedah lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, harga minyak mentah yang lebih rendah serta keadaan ekonomi dan permintaan yang lebih lembap di China mengehadkan kenaikan harga getah.
“Jualan global Toyota merosot 4.8 peratus, manakala jualan di China susut 24.3 peratus, menunjukkan permintaan automotif yang lebih lembap,” katanya.
Pada 3 petang, harga SMR 20 meningkat empat sen kepada 963.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik satu sen kepada 688 sen sekilogram.
Pasaran getah ditutup pada Isnin (31 Ogos) sempena sambutan Hari Kebangsaan dan akan dibuka semula pada Selasa.
-- BERNAMA