BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 2-0 Penang FC | 36 rakyat Malaysia yang berada di Tibet dilaporkan selamat susulan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan bersempadan Nepal-China - KLN | Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 pada 30 Ogos ini di PICC, Putrajaya ditetapkan pada 2 petang - Kementerian Perpaduan Negara | Dua daripada 57 rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal telah berjaya dikesan - KLN | Kerugian bersih Berjaya Corporation berkurangan kepada RM340.36 juta pada Tahun Kewangan 2026 daripada RM541.97 juta pada 2025 | 

Axiata Catat Untung Bersih Sebanyak RM42.53 Juta Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Axiata Group Bhd berkurangan kepada RM42.52 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2026 (suku kedua 2026) berbanding RM270.81 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan merosot 3.2 peratus kepada RM2.87 bilion daripada RM2.96 bilion, kebanyakannya disebabkan kesan turun naik kadar tukaran mata wang asing, walaupun mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus berdasarkan asas mata wang tetap.

“Pada asas mata wang tetap, pendapatan Axiata meningkat sebanyak 6.0 peratus, disumbangkan oleh semua syarikat pengendali kecuali Kumpulan Edotco dan Linknet,” menurut Axiata dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

Ad Banner

Bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun, 2026 (separuh pertama tahun 2026), keuntungan bersih Axiata susut kepada RM316.32 juta daripada RM430.65 juta setahun lepas, manakala pendapatan susut kepada RM5.67 bilion daripada RM5.85 bilion.

Axiata menerima dividen sebanyak RM875.3 juta daripada syarikat-syarikat oparasinya pada separuh pertama 2026 dan mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 5.5 sen sesaham biasa, naik 10 peratus tahun ke tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Nik Rizal Kamil berkata Axiata kekal komited untuk meningkatkan dividen sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun sehingga 2028, dengan sasaran memulangkan kumulatif RM3 bilion kepada pemegang saham dalam tempoh tersebut.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata prestasi separuh pertama 2026 menunjukkan kekuatan portfolio telekomunikasi dan teknologi Axiata, serta kemajuan di bawah strategi Axiata28: Advancing Asia.

Strategi itu memberi tumpuan kepada membuka nilai penuh aset kumpulan dan memacu pulangan pemegang saham yang mampan menerusi model “pengurus aset pintar”, katanya semasa sidang media yang diadakan secara maya.

“Pendekatan berkenaan menggabungkan disiplin seperti ekuiti swasta dalam cara kita memiliki, mengembangkan dan memperuntukkan modal dengan kesabaran sebagai pemilik strategik jangka panjang untuk membina nilai mampan dan memberikan pulangan lumayan kepada pemegang saham kami, katanya.

Nik Rizal berkata kumpulan itu sedang mempercepatkan transformasinya dengan membahagikan portfolionya kepada perniagaan telekomunikasi dan teknologi, ia dijangka memacu pertumbuhan dan penilaian dalam tempoh dua setengah tahun akan datang.

Mengenai operasi, segmen telekomunikasi merekodkan momentum pendapatan yang lebih kukuh, disokong oleh struktur pasaran yang lebih baik, sinergi penggabungan dan disiplin operasi.

Sumbangan keuntungan asas daripada portfolio telekomunikasi dan infrastruktur berkembang lebih 60 peratus pada separuh pertama, didorong oleh prestasi kukuh daripada XL Smart di Indonesia, Dialog di Sri Lanka dan Robi di Bangladesh.

Kumpulan itu juga terus melabur dalam kepimpinan rangkaian, termasuk pelancaran 5G dan inisiatif pemodenan di pasaran utama seperti Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia dan Kemboja.

Sementara itu, segmen teknologi mengembangkan keupayaannya, dengan ADA, perniagaan penyelesaian digital didorong data dan kecerdasan buatan (AI) Axiata, mencatatkan pertumbuhan pendapatan dua digit dan memperluaskan jejaknya berikutan pengambilalihan Algonomy yang mengukuhkan keupayaan AI miliknya.

Boost, cabang perkhidmatan kewangan digitalnya, merekodkan peningkatan 100 peratus tahun ke tahun dalam buku pinjamannya kepada RM418 juta dan mendapatkan International Finance Corporationc (IFC) sebagai pelabur strategik pada penilaian sebanyak US$340 juta.

Nik Rizal berkata kos kewangan yang lebih tinggi dicatatkan oleh segmen Boost adalah seiring dengan trajektori pertumbuhan kukuh, terutamanya pengembangan Boost Bank.

“Kos tersebut adalah sejajar dengan pertumbuhan pendapatan, terutamanya pada asas tahun ke tahun...pertumbuhannya adalah besar, memandangkan bank digital itu maju ke arah menjadi pemain yang berdaya maju sepenuhnya, katanya.

Beliau berkata IFC telah melabur sebanyak RM81.7 juta dalam Boost Holdings, manakala Axiata terus meneroka pelabur tambahan untuk menyokong pengembangan masa depannya dan melanjutkan landasan pertumbuhannya.

-- BERNAMA