Keuntungan Bersih CIMB Naik Kepada RM1.94 Bilion Pada Suku Kedua
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd meningkat kepada RM1.94 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2026 (suku kedua 2026) berbanding RM1.89 bilion dalam suku kedua 2026, disokong oleh prestasi menyeluruh merentasi semua perniagaan.
Bagaimanapun, pendapatan menurun kepada RM5.56 bilion pada suku tersebut daripada RM5.60 bilion sebelumnya.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, 2026, CIMB mengisytiharkan dividen interim pertama tunai sepenuhnya sebanyak 19.65 sen sesaham, berdasarkan nisbah pembayaran konsisten sebanyak 55 peratus, diterjemahkan kepada jumlah pembayaran dividen sebanyak RM2.1 bilion.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memaklumkan bahawa ia mencatatkan pulangan atas purata ekuiti (ROE) disetahunkan sebanyak 11.2 peratus, peningkatan sebanyak 20 mata asas suku ke suku, manakala pendapatan sesaham (EPS) berada pada 17.9 sen bagi suku tersebut.
Pendapatan operasi berkembang 2.8 peratus suku ke suku kepada RM5.56 bilion, dengan pertumbuhan dalam pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).
NOII meningkat 6.0 peratus suku ke suku kepada RM1.83 bilion, didorong oleh yuran francais yang lebih tinggi dan momentum jualan pelanggan yang berterusan.
NII naik 1.3 peratus suku ke suku kepada RM3.73 bilion, disokong oleh pertumbuhan aset dan pinjaman masing-masing sebanyak 2.2 peratus dan 1.1 peratus, atas asas mata wang tetap, mengimbangi penguncupan margin faedah bersih (NIM) yang sederhana.
Kumpulan itu menjangka tekanan NIM akan reda secara beransur-ansur, disokong oleh penetapan semula harga pinjaman di Indonesia dan pertumbuhan berterusan dalam deposit kos rendah di pasaran utamanya.
Berdasarkan asas mata wang tetap, jumlah deposit berkembang 2.5 peratus suku ke suku, membiayai pertumbuhan aset kumpulan.
Menurut CIMB, perbelanjaan operasi merosot 1.6 peratus suku ke suku, menyumbang kepada peningkatan 200 mata asas dalam nisbah kos kepada pendapatan (CIR) yang naik kepada 45.2 peratus bagi suku tersebut.
“Pada masa sama, kumpulan itu terus melabur dalam keupayaan teknologi, data dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemboleh ubah utama untuk pertumbuhan jangka panjang, kecekapan dan penambahbaikan pengalaman pelanggan.
“Kualiti aset kekal stabil secara meluas, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) merekodkan paras terendah sepanjang masa sebanyak 1.6 peratus setakat Jun 2026,” menurut kenyataan itu.
Bagi separuh pertama 2026, keuntungan bersih CIMB susut kepada RM3.85 bilion daripada RM3.86 bilion setahun sebelumnya, manakala pendapatan merosot kepada RM10.97 bilion daripada RM11.10 bilion sebelumnya.
Mengenai kemajuan Forward30, kumpulan itu berkata ia terus mengutamakan koridor rentas sempadan strategik melalui pelaburan, pembayaran dan inisiatif keterhubungan.
Ia termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Pasport Kewangan ASEAN, perkongsian China-ASEAN dan penubuhan Hab Korporat ASEAN di Singapura.
CIMB melancarkan pelan strategik “Forward30” selama enam tahun pada 5 Mac, 2025, bertujuan memacu pertumbuhan, mengukuhkan perniagaannya serta menyokong pelanggan dan masyarakat.
Pelan itu akan membantu usaha CIMB untuk bersaing dan berkembang di pasaran dengan memanfaatkan rangkaian ASEAN yang kukuh, menggunakan sumbernya dengan lebih baik dan menyampaikan prestasi kewangan yang mampan serta nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Pada masa sama, kumpulan itu terus memperuntukkan semula modal, dan tidak melibatkan perniagaan yang kurang berprestasi dan melipatgandakan cadangan digital berbezanya secara besar-besaran, dengan menggabungkan kekuatan bank universal dan TNG Group, memanfaatkan platform masing-masing.
TNG Group terus mencatatkan prestasi melebihi jangkaan pada separuh pertama 2026, dengan jumlah keuntungan berkembang lebih 100 peratus tahun ke tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata momentum pelaksanaan Forward30 kekal kukuh di landasan yang betul.
“Memasuki separuh kedua tahun ini, fokus kita kekal pada pengekalan pertumbuhan aset dan pinjaman yang kukuh, disokong oleh saluran paip pinjaman yang sihat, selain daripada kecekapan operasi yang berterusan dan pelaksanaan lebih kukuh merentasi enjin pertumbuhan CIMB.
“Kami juga akan mengekalkan peruntukan modal berdisiplin seperti ditunjukkan menerusi pemberhentian perniagaan auto CIMB Thailand, serta melipatgandakan cadangan digital unik CIMB secara besar-besaran melalui kekuatan gabungan bank universal kami dan TNG Group,” katanya.
Selain itu, CIMB mengumumkan bahawa anak syarikatnya, CIMB Thai Bank PCL, akan dinyahsenarai sahamnya daripada Bursa Saham Thailand (SET), berkuat kuasa 12 September, 2026.
Saham CIMB Thai akan terus tersedia untuk dagangan selama tujuh hari perniagaan, dari 3 hingga 11 September, 2026, sebelum penyahsenaraian tersebut.
“Penyahsenaraian itu tidak akan mempunyai kesan material ke atas pelanggan, operasi, kekuatan kewangan atau kedudukan kawal selia CIMB Thai.
“CIMB Thai kekal sebagai anak syarikat teras kumpulan itu dan akan meneruskan perniagaan perbankannya seperti biasa serta memajukan pelanggan dan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA