Belanjawan 2027 Diharap Akan Terus Perkukuh Sektor Agrikomoditi, Tingkat Pendapatan Pekebun Kecil - Noraini
SERDANG, 1 Sept (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berharap Belanjawan 2027 terus memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor agrikomoditi khususnya dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan daya saing industri.
Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kementerian itu telah mengenal pasti lima tumpuan utama yang diharapkan dapat diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh sektor berkenaan.
Beliau berkata satu daripada keutamaan berkenaan iaitu memperkasa pekebun kecil menerusi penggunaan input berkualiti, amalan pertanian baik serta sokongan terhadap program penanaman semula bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.
“Penggunaan teknologi sedang mengubah cara sektor pertanian beroperasi dan perkembangan ini turut membawa makna besar kepada sektor agrikomoditi.
“Industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf perlu terus memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta menghasilkan produk bernilai lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noraini berkata tumpuan KPK juga mempercepat mekanisasi, automasi dan pendigitalan termasuk penggunaan teknologi pintar serta kecerdasan buatan bagi meningkatkan kecekapan selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.
Menurut beliau, KPK turut mahu industri hiliran diperkukuh melalui penyelidikan, pengkomersialan inovasi dan penghasilan produk baharu berteknologi tinggi supaya lebih banyak nilai daripada komoditi utama negara dapat diwujudkan serta dikekalkan dalam negara.
“Perhatian juga perlu diberikan kepada aspek kemampanan, kebolehkesanan dan pematuhan terhadap standard antarabangsa supaya produk agrikomoditi Malaysia terus diterima dan berdaya saing dalam pasaran global,” katanya.
Beliau memberitahu tumpuan seterusnya ialah pembangunan bakat tempatan melalui pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta peningkatan penyertaan golongan belia.
Katanya, pembangunan bakat perlu diselaraskan dengan perubahan industri yang semakin berorientasikan teknologi, automasi dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Menurut Noraini, KPK yakin sokongan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 dapat mempercepat perubahan sektor agrikomoditi sekali gus memastikan industri itu terus menjadi antara tonggak ekonomi negara dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, Noraini melancarkan sistem Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) iaitu kerjasama di antara Agrobank dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Majlis pelancaran itu bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini.
-- BERNAMA