BERITA TERKINI   RCI TH: Bekas menteri direman lima hari hingga Ahad - Peguam | Peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor bagi tahun 2026 telah diluluskan - MoF | MoF kerjasama dengan KKDW untuk tangani isu tunggakan bayaran kepada kontraktor | Tiada sekatan dibuat ke atas peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berhubung jalan luar bandar - MoF | Empat remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, Johor, pagi ini - Bomba | 

MIDA Anjur Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026, Perkasa PKS Dan Syarikat Tempatan

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menganjurkan Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 yang memberi fokus kepada peranan syarikat tempatan dalam membentuk ekosistem industri Pantai Timur yang lebih inklusif dan berdaya saing. 

Seminar yang bakal berlangsung di AC Hotel, Kuantan, Pahang pada 8 September ini akan menjadi platform untuk memperkukuh ekosistem pelaburan serta memperkasakan syarikat tempatan dan bumiputera di Pahang, Kelantan dan Terengganu. 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata Wilayah Pantai Timur mempunyai asas ekonomi dan industri yang kukuh serta potensi yang besar untuk berkembang sebagai koridor pelaburan yang lebih berdaya saing.

Ad Banner

“Dengan peningkatan kesalinghubungan melalui projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kekuatan sektor sedia ada serta peluang dalam sektor baharu dan bernilai tinggi, kita melihat ruang yang besar untuk syarikat tempatan dan bumiputera berkembang bersama pelaburan yang masuk ke rantau ini.

“Aspek paling penting, kita mahu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat tempatan melihat perkembangan ini bukan hanya sebagai peluang untuk syarikat besar tetapi sebagai peluang untuk mereka sendiri meningkatkan kapasiti, mengadaptasi teknologi, menjadi pembekal kepada industri yang lebih besar dan menembusi pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, MIDA mahu menggalakkan syarikat sedia ada untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh keupayaan teknologi, meningkatkan produktiviti dan bergerak ke arah aktiviti bernilai tambah lebih tinggi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ia selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI untuk memastikan manfaat pembangunan pelaburan dapat dirasai dengan lebih meluas oleh ekonomi dan masyarakat tempatan. 

Seminar yang bertemakan, ‘Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Koridor Pantai Timur’ itu menyasarkan penyertaan seramai 300 peserta.

Ia bakal menghimpunkan syarikat tempatan dan bumiputera, PKS, syarikat peringkat pertengahan, pelabur, pemain industri, institusi kewangan serta agensi kerajaan untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu dan membina hubungan strategik di Wilayah Pantai Timur. 

Program tersebut akan menampilkan ucaptama oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, diikuti sesi mengenai Kerangka Insentif Baharu (NIF), Forum ECRL serta sesi ‘Dari Pantai Timur ke Persada Dunia’ yang akan meneroka peluang pelaburan, kesalinghubungan serantau serta laluan untuk syarikat tempatan mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas.

Program itu turut menampilkan Forum Penyertaan Ekonomi Bumiputera dan Sesi Ekosistem Halal yang memberi tumpuan kepada pengukuhan penyertaan syarikat tempatan serta pembangunan ekosistem halal dan keterjaminan makanan.

Selain itu, Business Clinics akan menyediakan peluang kepada syarikat untuk berinteraksi secara langsung dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, PERKESO serta agensi kerajaan berkaitan bagi mendapatkan panduan dan penyelesaian berhubung isu operasi, pematuhan, tenaga kerja, kelulusan dan pelaksanaan projek. 

Peserta digalakkan mendaftar seawal mungkin bagi mendapatkan maklumat terkini, membina rangkaian perniagaan, meneroka peluang pelaburan dan mendapatkan akses terus kepada agensi kerajaan melalui sesi Business Clinics

Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://form.evenesis.com/MIDA-Seminar-Pelaburan-Wilayah-Pantai-Timur-2026

-- BERNAMA