SkyGate NHJ Perluas Keupayaan Pembuatan Berteknologi Tinggi Di Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- SkyGate NHJ Technology Sdn Bhd memperluas kapasiti pembuatan berteknologi tinggi di Malaysia menerusi pembukaan kemudahan baharunya di Zon Perindustrian Bebas Perai, Pulau Pinang.
Ditubuhkan pada 14 Julai 2025, SkyGate NHJ Technology ialah syarikat usaha sama antara anak syarikat SkyGate Solutions Bhd yang berpangkalan di Pulau Pinang dengan New Jin Hai Pte Ltd dari Singapura.
Kerjasama itu menggabungkan kehadiran dan rangkaian tempatan SkyGate Solutions dengan pengalaman lebih tiga dekad New Jin Hai dalam bidang kejuruteraan ketepatan.
Kemudahan seluas 36,000 kaki persegi itu dilengkapi teknologi pemesinan CNC mendatar dan lima paksi termaju bagi menyokong pembuatan berasaskan pendigitalan dan automasi, sekali gus meningkatkan ketepatan, produktiviti serta kecekapan operasi.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerjasama itu berpotensi menghasilkan manfaat yang melangkaui peningkatan kapasiti pembuatan, termasuk pemindahan teknologi, pengukuhan keupayaan tempatan dan pembangunan keupayaan baharu dalam ekosistem teknologi tinggi negeri itu.
“Keupayaan pembuatan berketepatan tinggi yang memenuhi keperluan pelbagai sektor, daripada semikonduktor dan elektronik kepada perubatan, optik dan aeroangkasa, meletakkan syarikat itu pada kedudukan baik untuk menyumbang kepada ekosistem teknologi tinggi yang lebih luas,” katanya.
Pulau Pinang kini menempatkan lebih 30 syarikat peralatan ujian automatik (ATE), disokong lebih 80 syarikat dan rakan ekosistem dalam bidang automasi, kejuruteraan ketepatan serta pembuatan semikonduktor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan itu mencerminkan bentuk kerjasama yang ingin ditarik Malaysia, iaitu menggabungkan penyertaan tempatan dengan kepakaran, teknologi dan pengetahuan antarabangsa.
“Selain pelaburan itu sendiri, kerjasama ini akan memperkukuh keupayaan tempatan, membangunkan bakat kejuruteraan dan menyokong aspirasi Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk beralih kepada aktiviti pembuatan bernilai lebih tinggi dan berintensifkan teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SkyGate NHJ Technology Li Jian berkata syarikat itu menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh kerjasama di sepanjang rantaian bekalan huluan dan hiliran serta menyumbang kepada pembangunan sektor pembuatan Pulau Pinang menerusi peningkatan keupayaan dalam ketepatan, kecekapan, pendigitalan dan pembuatan pintar.
-- BERNAMA