BERITA TERKINI   Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Indonesia ditutup sementara akibat abu gunung berapi, 209 penerbangan terjejas - Kementerian Pengangkutan | 
Ad Banner

Tenaga Pintar Dan Bakat Penting Untuk Kekalkan pertumbuhan Semikonduktor Di Pulau Pinang - ABB

Oleh Farhana Poniman

GEORGE TOWN, 6 Sept (Bernama) -- Infrastruktur kuasa boleh dipercayai dan mampan, pengurusan tenaga pintar dan kumpulan bakat yang mahir adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan sektor semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang dalam persekitaran kecerdasan buatan (AI) global, kata ABB.

Naib Presiden Penyelesaian Pengagihan Elektrifikasi (Voltan Sederhana) ABB, Adeline Soh berkata pembuatan semikonduktor adalah antara industri paling intensif tenaga di dunia, menjadikan kapasiti kuasa, kebolehpercayaan dan kemampanan semakin penting apabila pelaburan dalam sektor ini menjadi semakin pantas.

Ad Banner

Beliau berkata penggunaan penyelesaian elektrifikasi dan pengurusan tenaga pintar dapat membantu pengeluar semikonduktor meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan kos operasi.

“Berikutan permintaan untuk AI meningkat, syarikat perlu menggunakan penyelesaian yang lebih pintar untuk menjadi lebih cekap dan mengurangkan kos operasi,” katanya kepada Bernama.

Soh berkata ABB sudah mempunyai beberapa pelanggan semikonduktor di Malaysia, termasuk di Pulau Pinang yang menggunakan peralatan suis, bekalan kuasa tanpa gangguan dan penyelesaian elektrifikasi lain, syarikat itu juga mempunyai kedudukan yang kukuh dalam industri semikonduktor di seluruh rantau Asia Pasifik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata satu lagi cabaran kritikal dihadapi industri semikonduktor Malaysia ialah kekurangan bakat mahir, ia memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

“Jurang paling kritikal adalah kemahiran dan bakat. Kita perlu terus membina lebih banyak bakat di Malaysia untuk menyokong pertumbuhan industri semikonduktor,” katanya.

Soh berkata bahawa menerusi program ABB Jürgen Dormann Foundation for Engineering Education, ABB menyediakan biasiswa kepada pelajar Universiti Malaya yang layak, menggalakkan mereka untuk meneruskan kerjaya kejuruteraan sambil membantu membina saluran bakat yang kukuh untuk industri.

Mengenai Hari Inovasi ABB di Pulau Pinang, dijadualkan pada 8 September ini, beliau berkata acara itu akan mempamerkan teknologi direka untuk membantu pengeluar semikonduktor meningkatkan kecekapan kuasa, mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan pendigitalan, termasuk penyelesaian penyelenggaraan ramalan.

Beliau berkata teknologi ramalan boleh membolehkan pengeluar memantau peralatan dari jauh dan mengenal pasti potensi kegagalan sebelum ia berlaku, sekali gus mengurangkan gangguan pengeluaran.

Soh berkata bahawa penyelesaian ABB juga boleh diakses oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan penawaran yang disesuaikan mengikut skala, peralatan dan keperluan spesifik pelanggan.

Beliau berkata pertumbuhan perindustrian di Pulau Pinang yang berterusan juga memerlukan bekalan elektrik yang stabil dan penyelesaian tenaga lebih pintar daripada utiliti dan pihak berkepentingan lain berkaitan untuk memastikan kuasa boleh dipercayai (stabil dan konsisten) untuk sektor semikonduktor sepanjang dekad akan datang.

Melihat ke depan, beliau berkata transformasi teknologi terbesar dalam pembuatan semikonduktor ialah penumpuan AI, pendigitalan dan elektrifikasi pintar.

Beliau berkata kemudahan semikonduktor masa depan dijangka menjadi semakin autonomi, terhubung dan boleh diramal, dengan sistem berasaskan awan, membolehkan pengeluar memantau peralatan dan infrastruktur tanpa hanya bergantung pada tenaga kerja untuk pemeriksaan fizikal.

“Ini akan membantu meningkatkan kecekapan, sambil membolehkan pengeluar meramalkan potensi kegagalan peralatan. Pada masa sama, infrastruktur elektrik itu sendiri akan menjadi lebih pintar dan memberikan keterlihatan lebih besar kepada industri,” katanya.

-- BERNAMA